Sungguhpun sudah lebih tujuh tahun pelakon dan pelawak, Along Cham, 40, bergelar bapa tunggal, namun belum mempunyai keinginan untuk kembali mendirikan rumah tangga.
Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad yang juga bapa kepada cahaya mata lelaki, Ahmad Daniel, 12, berkata, dia tidaklah serik mahupun kecewa dengan wanita, cuma tiada masa menjalinkan hubungan istimewa.
“Saya masih solo lagi, belum bertemu pasangan. Ya, sudah tujuh tahun saya hidup solo. Saya terlalu sibuk dengan kerja dan mencari rezeki.
“Mungkin juga sebab saya tak percaya, sesetengah orang kalau nak berkahwin, dia mencari, tetapi saya kurang mencari.
“Kehidupan sekarang, habis kerja terus balik rumah. Rakan pun bising saya tak suka melepak bila diajak.
“Jadi, sebab kurang berpeleseran nak cari jodoh, itulah saya masih solo.
“Emak ada bergurau dan kawan-kawan pun ada mengusik. Nak kahwin kena ada keinginan, betul tak? Kalau kata bercinta, kalau tiada keinginan berkahwin, bercinta sahajalah sampai 10 tahun.
“Jujurnya, kecewa itu tiada, tetapi saya ada letak satu syarat. Kalau saya nak kahwin kena pastikan adil untuk anak. Nak kahwin kena terima anak saya,” katanya kepada BH Online.
Pelakon filem Adnan Sempit itu berkata, dia perlu mengutamakan Ahmad Daniel sekiranya mahu berkahwin dan perlu memastikan pasangannya juga baik buat anaknya.
“Sama juga dengan ibu tunggal yang ada anak di sisi, nak kahwin bakal suami kenalah terima anak. Saya pegang satu sahaja, lambat bertemu jodoh itu selalunya bersebab.
“Mungkin Allah nak bagi saya masa bantu keluarga dahulu, bantu adik yang masih belajar,” katanya. – Agensi