WASHINGTON, 2 Mei – Juara Formula Satu dunia dua kali Fernando Alonso dari Sepanyol dan tujuh bekas juara adalah antara pemandu 36 kereta yang diumumkan sebagai peserta perlumbaan Indianapolis 500 edisi ke-103, hari ini.
Perlumbaan IndyCar pada 26 Mei depan di litar Indianapolis Motor Speedway sejauh 4km menawarkan Alonso peluang untuk melengkapkan gelaran perlumbaan kereta “Triple Crown” dengan memenangi Grand Prix Monaco, 24 Jam Le Mans dan Indy 500.
Pemandu Sepanyol berusia 37 tahun itu mendahului 27 pusingan sebagai pendatang baharu Indy 500 pada 2017 sebelum masalah mekanikal menamatkan saingannya dengan berbaki 20 pusingan. Dia dinobat sebagai Pemandu Rookie Tahunan Indy 500 susulan usahanya itu.
Karier Alonso termasuk gelaran F1 pada 2005 dan 2006, kejayaan di Monaco pada 2006 dan 2007 serta berkongsi kejuaraan 24 Jam Le Mans pada 2018 dari petak utama bersama rakan sepasukan Sebastien Buemi dari Switzerland dan Kazuki Nakajima dari Jepun.
Graham Hill dari Britain muncul pemandu tunggal memenangi ‘Triple Crown’ dengan kejayaan di Le Mans, Monaco dan klasik Indy, memenangi Indy 500 pada 1966.
Selepas bersaing dalam perlumbaan endurance tahun lalu, Alonso kembali ke Indy bersama McLaren yang menggunakan enjin Chevrolet dan kereta bernombor 66, nombor sama digunakan Mark Donohue pada 1972 ketika kemenangan pertama McLaren dalam Indy 500.
Pemandu Australia, Will Power akan mempertahankan kejuaraan Indy 500, cuba muncul pemenang berturut-turut pertama sejak kejayaan pemandu Brazil, Helio Castroneves pada 2001 dan 2002.
Castroneves, yang turut menang pada 2009, juga kembali bertanding. – AFP