Alpha Tauri kekalkan Tsunoda, Gasly

PARIS, 7 SEPT – Pemandu Jepun, Yuki Tsunoda dan pemandu Perancis, Pierre Gasly akan kekal bersama Alpha Tauri bagi musim 2022 Formula Satu, menurut pengumuman yang dibuat oleh pasukan tersebut, hari ini.

Tsunoda, 21, mempamerkan aksi yang mengagumkan dalam musim sulungnya, memenangi 18 mata dengan kedudukan terbaik di tangga keenam di Grand Prix Hungary.

Gasly yang bersama Alpha Tauri sejak 2017, kecuali tempoh singkat bersama pasukan Red Bull pada 2019.

“Saya mempunyai hubungan yang baik bersama Pierre.

“Saya banyak belajar daripadanya tahun ini dan pengalamannya telah membantu saya untuk membentuk kemahiran saya sendiri, ia sangat hebat untuk meneruskan perjalanan di F1 bersamanya,” kata Tsunoda.

Musim hadapan akan menyaksikan peraturan baharu F1 yang dijangka akan memberikan peluang untuk pasukan kerdil merapatkan jurang dengan pesaing utama yang gah. – AFP