Alternatif lain selain trofi

Pelakon yang popular menerusi watak Ustaz Hamadi dalam drama Nur dan Nur 2, Azhan Rani berkata, sebelum ini, beberapa acara anugerah mengiktiraf pelakon dengan memberikan imbuhan seperti wang dan hadiah percutian atas kejayaan mereka.

Ganjaran itu, katanya, biarpun tidak besar, tetapi mampu menjadi pembakar semangat untuk mereka bekerja keras dan terus menggali potensi.

“Saya mengharapkan akan ada perubahan dan penganjur tidak lagi mengulangi perkara sama apabila pemenang hanya diberikan trofi. Namun, nampaknya perubahan itu belum berlaku. Selepas menang, kami akan kembali menjalani rutin seperti biasa. Tiada beza sama ada menang atau kalah, cuma yang berjaya akan pulang membawa trofi.

“Sedangkan kami turut membuat pelaburan untuk menyarung persalinan mengikut tema dan mengeluarkan pelbagai perbelanjaan lain,” katanya.

Pemenang trofi Pelakon Watak Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-32 itu berkata, dia tidak berniat mempertikai keikhlasan pihak yang menganjurkan sesuatu anugerah.

Dia bagaimanapun, berharap pihak terbabit mempertimbangkan usulnya itu sebagai menghargai usaha dan keringat anak seni mengangkat industri hiburan tempatan. – Agensi

Azhan tidak berniat mempertikai keikhlasan pihak yang menganjurkan sesuatu anugerah. – Agensi