Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Pemimpin-pemimpin sekolah diberikan kelonggaran untuk berunding dengan guru-guru yang dalam kategori vulnerable mengenai bagaimana untuk mengajar di sekolah ataupun secara dalam talian.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Sulaiman menjelaskan mengenai persoalan terhadap guru-guru yang dikategorikan vulnerable semasa pembukaan sekolah yang bakal dibuka nanti pada sesi soal jawab di Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
Menurut Yang Berhormat Dato, perlu difahami bahawa dalam mengadakan sesi pembelajaran face-to-face, banyak tenaga kerja guru-guru diperlukan terutama sekali memata-matai anak-anak sekolah supaya penjarakan sosial dan keselamatan di sekolah itu dapat dilaksanakan.
“Ada guru-guru yang daripada kategori vulnerable ini mengajar mengikut masa, sementara rakan-rakan mereka yang lain yang bukan dalam kategori ini memata-matai pergerakan pelajar-pelajar atas sebab banyak yang perlu diusahakan untuk menjamin dan memberikan keselamatan kepada penuntut-penuntut semasa mereka berada dalam ruangan sekolah nanti,” jelas Yang Berhormat Dato.
“Sebenarnya, untuk menjayakan pembelajaran dan pengajaran secara face-to-face ini, tenaga kerja, guru-guru dan juga kakitangan yang lain amatlah diperlukan, namun akan dicari cara perlaksanaannya, ini adalah perundingan dan cara-cara kreatif dari pemimpin-pemimpin sekolah dengan para tenaga pengajar,” jelasnya.
“Ada sekolah-sekolah tertentu mempunyai jumlah kumpulan vulnerable yang tinggi, menjadikan secara kasarnya tidak ada yang dapat mengajar.
“Pembelajaran secara online bukan satu cara yang mudah dan jalan penyelesaian sepenuhnya,” tambahnya lagi. Menurut Yang Berhormat Menteri Pendidikan, alternatif harus dicari, salah satunya ialah untuk guru-guru itu mengajar pada masa yang ditentukan. Selepas itu, mereka boleh meneruskan pembelajaran di rumah.
“Mereka hanya diperlukan ketika waktu mereka mengajar dan guru-guru tidak terlibat dalam memeriksa suhu badan dan sebagainya,” tambah Yang Berhormat Dato.





























