Alto baharu dilancarkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Boustead Sdn Bhd selaku pengedar unggul Suzuki di Brunei telah melancarkan dan memperkenalkan Suzuki Alto untuk disaksikan oleh orang ramai di Dewan Pameran Suzuki, Gadong, hari ini.

Suzuki Alto terbaharu itu dikategorikan dalam segmen hatchback kecil dan mempunyai transmisi manual lima kelajuan dengan anjakan enjin 800cc. Ia mempunyai kapasiti tangki minyak 35 liter dengan kadar penggunaan bahan api yang baik iaitu 22.05 kilometer seliter.

Enjin Alto, F8D 0.8 liter menggabungkan tork yang mencukupi dengan penggunaan bahan api yang rendah. Ia juga merupakan sebuah kereta yang selesa dan kecil serta mesra pengguna yang sesuai bagi kegunaan harian.

Suzuki Alto terbaharu dengan harga yang mampu milik, didatangkan dalam enam warna menarik termasuk merah, biru, kelabu dan hijau di mana kepelbagaian warna berkenaan menepati perwatakan para pelanggan.

Reka bentuk luaran Alto juga telah dipertingkatkan untuk menonjolkan ciri-ciri menariknya bagi memberikannya rupa yang tampak moden serta menarik perhatian para penggemarnya.

Pada masa yang sama, ciri-ciri keselamatan juga diberikan keutamaan bagi memastikan para pemandu dan penumpang berasa selamat di atas jalan raya dengan dilengkapi sistem beg udara dan Anti-Lock Braking System (ABS) yang memberikan kestabilan pemanduan serta mengelakkan roda kereta terkunci ketika membuat perhentian kecemasan.

Bersempena dengan acara pelancaran itu, Boustead Sdn Bhd juga telah menganjurkan pertandingan dalam talian, Alto Guessing Challenge, menerusi platform media sosial yang telah berakhir penghujung Jun lalu di mana pengguna media sosial dialu-alukan untuk meneka bayaran bulanan bagi model terbaharu itu serta memberikan jawapan mereka melalui pesanan langsung ke Facebook atau Instagram.

Pertandingan itu mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan di mana lebih daripada 150 tekaan dibuat dalam tempoh tujuh hari dan 10 orang pemenang telah dipilih untuk memenangi hadiah-hadiah menarik.

Hadiah utama iaitu telefon pintar Xiaomi Redmi 8A dimenangi oleh Awang Shahrul manakala itu, empat orang pemenang membawa pulang beg berjenama Under Amour iaitu Awang Muhamad Danial Ashyraf bin Muhamad Norulaswardi, Dayang Azadni binti Haji Awang, Awang Shahrul PM dan Sook Yee serta lima orang pemenang membawa pulang Suzuki Boot Organizer iaitu Haji Amir bin Haji Abdul Latip, Solehah binti Haji Omar, Dayang Nurul Hazimah Irwan, Malissa dan Pengiran Abu Bakar bin Pengiran Haji Ismail.

Suzuki Alto terbaharu yang mengetengahkan rekaan menarik dan moden serta mengekalkan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan untuk para pemandu dan penumpang.
Ruang dalaman Suzuki Alto baharu yang telah dilancarkan bagi pasaran Brunei.