Alumni Al-Azhar sumbang bantuan pelajaraan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam telah menyumbang bantuan pembelajaran berupa 21 tablet, pelitup muka, cecair pencuci tangan, cecair pensanitasi tangan dan alat penyukat suhu badan khusus untuk persekolahan Arab dan agama.

Sumbangan berkenaan adalah hasil kutipan tabung khusus bagi bantuan pembelajaran di musim pandemik ini dinamakan Azhari Peduli Program Infaq Tarbiah Khas COVID-19 Persekolahan Arab dan Ugama, yang dibukakan kepada ahli-ahlinya pada September lalu.

Program Infaq Tarbiah Khas itu telah berjaya membuat kutipan sebanyak $7,497.

Penyerahan sumbangan disempurnakan di Bilik Dhiyafah Tingkat 5, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) di mana sumbangan diterima oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Sumbangan diserahkan oleh Raes Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.

Turut hadir bagi menerima sumbangan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Hadir sama ialah Naib Raes Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Antara objektif Program Infaq Tarbiah Khas berkenaan diadakan untuk menzahirkan sokongan padu ke arah memudahkan akses pembelajaran bagi para pelajar yang berada di sekolah Arab dan sekolah agama.

Ini kerana, terdapat segelintir pelajar yang mempunyai kesukaran dalam mengikuti pengajian secara maya dan ketidakprihatinan kepada golongan berkenaan akan mengetepikan mereka daripada mendapat ilmu yang berharga.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, raes dan naib raes Ra’es Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam, setiausaha tetap serta timbalan setiausaha tetap di KHEU bergambar ramai semasa majlis penyerahan sumbangan berkenaan. – Gambar serahan Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam