Alumni ISB beri ceramah inspirasi

Oleh Syahmi Hassan & Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Penuntut Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), hari ini, telah diberi inspirasi dalam ceramah yang disampaikan oleh salah seorang alumni dan bekas penuntut ISB, Christopher Kang Kyeong Hun yang pada masa ini merupakan pakar cukai di Big Four, New York City, Amerika Syarikat.

Big Four merupakan empat rangkaian perkhidmatan profesional terbesar di dunia, yang menawarkan perkhidmatan dalam jaminan, cukai, rundingan, kewangan korporat dan undang-undang, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ISB.

Dalam ceramahnya itu, Christopher Kang Kyeong Hun telah mengongsikan pengalaman dan menggariskan ciri-ciri penting yang perlu untuk berjaya di universiti dan di tempat kerja.

Beliau telah menyatakan kepentingan mempunyai latar belakang pendidikan yang kuat dan menekankan kepentingan mempunyai kemahiran interpersonal yang kuat, berkomunikasi dengan berkesan, mengambil inisiatif dan risiko, menyayangi orang lain dan mengekalkan minda yang terbuka.

Ini merupakan ciri-ciri penting kepada profil pelajar ISB yang dipromosikan ke seluruh sekolah dari tahun awal hingga Tahun 13.

Christopher Kang Kyeong Hun ketika memberikan aspirasi kepada penuntut-penuntut ISB.
Christopher Kang Kyeong Hun ketika memberikan aspirasi kepada penuntut-penuntut ISB.
Antara penuntut-penuntut ISB yang hadir bagi mendapatkan aspirasi dari salah seorang alumni ISB.
Antara penuntut-penuntut ISB yang hadir bagi mendapatkan aspirasi dari salah seorang alumni ISB.

Christopher Kang berkata, pengajian universiti dan kehidupan kerja beliau di sebuah firma global melibatkan mesyuarat dan berinteraksi dengan orang yang berbeza dari pelbagai latar belakang di seluruh negara dan budaya.

“Saya bernasib baik kerana membesar dalam sebuah sekolah yang sentiasa menekankan rasa hormat kepada orang lain dan memupuk nilai-nilai keluarga untuk mengimbangi akademik dengan kemahiran sosial yang penting,” ujarnya.

Christopher Kang menggalakkan pelajar untuk mengejar impian dan aspirasi mereka melalui kerja keras dan dedikasi kepada pembelajaran. Christopher Kang menamatkan Program Diploma IB pada tahun 2009 dan seterusnya melanjutkan pengajian akademik di New York. Dalam tempoh enam tahun, beliau berjaya mengambil dua sarjana muda dan satu ijazah sarjana.

Beliau menambah, “Kedua-dua ISB dan Program IB yang membolehkan saya untuk berkembang sebagai orang muda yang dewasa yang sedang memasuki dunia pemilihan (world of decisions) yang mencabar dan menghadapi cabaran.

“Saya sentiasa didorong untuk menjadi yakin serta lantang tentang pemikiran dan idea-idea saya dalam persekitaran sekolah. Saya benar-benar menghargai sokongan daripada ibu bapa dan guru-guru saya, kerana mereka memberi saya sokongan dan nasihat yang diperlukan untuk berkembang maju di universiti dan seterusnya,” tambah beliau lagi.

Menurut kenyataan itu, alumni ISB kerap berbakti semula kepada komuniti sekolah dengan menyampaikan ceramah-ceramah kepada pelajar sekolah menengah bagi berkongsi nasihat dan bimbingan.

Penasihat Pendidikan Tinggi dan Kerjaya di ISB, Claire McGhee berkata, mereka akan menjemput alumni ISB untuk datang memberi ceramah dan berkongsi pengalaman profesional mereka pada Hari Kerjaya yang dijadualkan pada April 2017.