Alumni PKBN bersihkan Pantai Serasa

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Seramai 25 orang dari Alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) telah mengadakan Kempen Kebersihan sempena Kempen Hari Bertindak di Pantai Serasa, Muara, kelmarin.

Kempen berkenaan telah diketuai oleh Mejar (B) Awang Sofian bin Haji Muhammad Kassim.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk membersihkan kawasan Pantai Serasa yang selalu dikunjungi oleh orang ramai.

Dengan adanya kempen itu, diharap akan dapat membimbing belia untuk turun padang dalam sama-sama membersihkan pantai dan menghargai apa yang telah disediakan oleh
kerajaan.

Aktiviti berkenaan juga dilaratkan ke Daerah Temburong yang melibatkan kumpulan lain untuk membersihkan kawasan Masjid Kampung Batu Apoi dan tanah perkuburan di Semamang Bangar.

Hari Sukarelawan Antarabangsa merupakan mandat daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang disambut setiap 5 Disember dan dilihat sebagai peluang unik bagi sukarelawan dan organisasi untuk meraikan usaha mereka di samping untuk berkongsi dan mempromosi kerja mereka dalam kalangan komuniti mereka, badan-badan bukan kerajaan, agensi-agensi swasta dan kerajaan.

Antara yang menyertai dalam kempen berkenaan.