Alumni SM SMJA ambil keberkatan Syaaban

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Bagi mengambil kemuliaan dan keberkatan pada bulan Syaaban yang menandakan Ramadan kian hampir, Jawatankuasa Alumni Sekolah Menengah Inggeris Pengambilan Pertama Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA) Aliran Inggeris 1975-1978 telah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Arwah Alumni SM SMJA 1975-1978.

Majlis berlangsung di kediaman timbalan setiausaha jawatankuasa berkenaan, Dayang Jahlelawati binti Haji Abdul Jalil di Kampung Bengkurong, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang diberikan, majlis yang diadakan buat kali keempat itu adalah sebagai aktiviti tahunan sejak alumni berkenaan ditubuhkan pada 2016 dengan tujuan untuk sama-sama mendoakan khusus kepada guru-guru dan rakan yang telah kembali ke rahmatullah agar diberikan rahmat dan keampunan serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Di samping itu juga untuk mengeratkan perpaduan dan ikatan silaturahim dalam kalangan bekas penuntut-penuntut dan ahli keluarga masing-masing.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah serta bacaan Doa Selamat bagi rakan-rakan yang sudah kembali ke rahmatullah diikuti dengan menikmati jamuan dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Alumni pengambilan pertama Aliran Inggeris Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam 1975 bergambar ramai pada Majlis Tahlil dan Doa Arwah ke-4 bagi 1440H/2019M, baru-baru ini.