Alumni UNISSA terima sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan UNISSA

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Dalam usaha berlumba-lumba untuk melaksanakan kebaikan dan meraih keberkatan sempena bulan Ramadan yang lalu, Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Program Jawlah Ramadan: Food Drive, baru-baru ini.

Hadir pada program berkenaan ialah Penolong Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu. Turut hadir para pegawai Pejabat Hal Ehwal Alumni UNISSA dan ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni UNISSA 2021/2023.

Sementara itu, barangan asasi dan wang tunai hasil kutipan daripada alumni UNISSA dan warga UNISSA yang dikutip bermula pada Mac lalu, adalah merupakan sumbangan yang diberikan kepada para penerima.

Antara lain, program ini juga bertujuan untuk menanamkan dan mengamalkan sikap bantu membantu dan pemedulian kepada masyarakat luar terutamanya dalam kalangan alumni UNISSA sendiri.

Program berkebajikan ini merupakan aktiviti tahunan bagi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni UNISSA sebagai inisiatif untuk membantu alumni UNISSA yang memerlukan dan kurang berkemampuan.

Antara ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni UNISSA yang telah menjayakan program tersebut.
ATAS & BAWAH: Antara alumni dan warga UNISSA yang telah menerima sumbangan berupa barangan asasi dan wang tunai pada program tersebut, baru-baru ini.