Tuesday, April 29, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alumni Yayasan diseru lebih produktif

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Alumni Sultan’s Scholar ditubuhkan pada 2014 dengan terdapatnya pelantikan beberapa orang ahli dalam pemegang jawatan (office bearers) alumni, walau bagaimanapun, sejak penubuhannya, pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) belum melihat sebarang perkembangan untuk mencapai hasrat ia ditubuhkan.

    “Maka dengan ini, pihak Yayasan sangat berharap agar alumni ini segera bergerak, mengoptimumkan medium ini untuk menyerlahkan kecemerlangan, menggunakan kemahiran, mengongsikan pengalaman, bertukar-tukar pendapat dan idea agar dapat digarap bersama sebagai idea baru yang akan diaplikasikan dalam pelbagai projek yang bermanfaat kepada masyarakat.”

    Harapan itu disuarakan oleh Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail ketika berucap di Majlis Perjumpaan dan Sesi Retreat Alumni Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 2017 yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Kompleks Yayasan, hari ini.

    Beliau berkata bahawa alumni itu terdiri daripada para intelek terpilih dan dijangka mampu menghasilkan sesuatu yang berpotensi serta membawa impak lebih besar kepada kemajuan sesuatu aspek komuniti yang disasarkan.

    Pada masa yang sama, mereka juga dilihat sebagai generasi penerus iaitu satu lapisan yang satu hari nanti membarisi tampuk kepimpinan sesebuah organisasi kerajaan atau bukan kerajaan.

    Haji Brahim semasa mempengerusikan mesyuarat tersebut.
    Haji Brahim semasa mempengerusikan mesyuarat tersebut.

    Pihak Yayasan juga menaruh harapan tinggi supaya para ahli alumni yang pernah dianugerahkan skim berprestij itu akan menabur bakti iaitu untuk memberi balik kepada komuniti.

    “Apa pun juga hasil perbincangan dari sesi perjumpaan dan sesi retreat ini nanti, saya bagi pihak Yayasan ingin melihat Persatuan Alumni Graduan Sultan’s Scholar wujud sebagai organisasi alumni yang berdaftar dalam Registry of Society (Brunei) dan bergerak pantas menjalankan pelbagai program berkebajikan,” tambahnya.

    Haji Brahim percaya bahawa setiap ahli alumni berkebolehan dan kreatif dan berupaya mengimbangi tugasan harian dan kerja sukarelawan dalam sama-sama menangani pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi negara.

    Di antara ahli-ahli alumni yang menghadiri sesi perjumpaan dan retreat itu.
    Di antara ahli-ahli alumni yang menghadiri sesi perjumpaan dan retreat itu.

    “Para ahli alumni diseru agar aktif menghasilkan idea dan cadangan yang kreatif dan berinovatif untuk dipertimbangkan Yayasan dan seterusnya diperkembangkan selaras dengan kemajuan teknologi serta kemasyarakatan di Negara Brunei Darussalam,” ujarnya lagi.

    Majlis perjumpaan khas selama sehari itu disertai oleh ahli-ahli alumni berkenaan di mana mereka diberikan taklimat mengenai program Yayasan, kesukarelawanan dan ceramah khas, selain mengemas kini pemegang jawatan alumni, tugas serta tanggungjawab, susun atur pelaksanaan kegiatan alumni sepanjang tahun serta sumbangan alumni dalam Sambutan Jubli Perak (25 Tahun) Penubuhan Yayasan.

    Penubuhan alumni itu bermatlamat untuk mempromosi dan menyediakan peluang unik bagi alumni menyerlahkan kecemerlangan diri melalui pelaksanaan kegiatan profesional dan sosial yang bermanfaat dan berkebajikan.

    Selain itu ia juga bertujuan menjadi satu saluran dan medium untuk alumni memberi sumbangan idea, kepakaran, kemahiran dan pengalaman kepada mana-mana pihak yang memerlukan, menganjur kegiatan ke arah pembentukan jasmani, emosi, rohani dan intelektual yang seimbang di kalangan graduan itu sendiri serta memupuk perpaduan, integrasi dan silaturahim warga alumni di samping sebagai rakan dan pendukung misi serta visi Yayasan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda