Tuesday, April 23, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Alvarez ganti Haaland, City benam Sevilla

    MANCHESTER, UNITED KINGDOM, 3 NOV – Julian Alvarez mengisi kekosongan ditinggalkan Erling Haaland dengan satu gol dan dua assists ketika Manchester City bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sevilla 3-1 kelmarin.

    Juara England itu beraksi tanpa Haaland yang mengalami kecederaan kaki namun sudah memastikan tempat teratas Kumpulan G Liga Juara-Juara membuatkan Guardiola mengambil peluang merehatkan Kevin De Bruyne, Rodri, Bernardo Silva dan Joao Cancelo di bangku simpanan.

    City yang membuat banyak perubahan, ketinggalan sebelum rehat hasil tandukan Rafa Mir.

    Namun pemain berusia 17 tahun, Rico Lewis menyamakan kedudukan pada penampilan penuh pertamanya di babak kedua sebelum hantaran De Bruyne memberikan Alvarez gol keempatnya buat City.

    Pemain Argentina itu kemudiannnya mengumpan Riyad Mahrez yang melengkapkan kebangkitan pasukan itu tujuh minit sebelum tamat perlawanan.

    Kemenangan menyaksikan City menamatkan aksi kumpulan dengan kelebihan lima mata di depan Borussia Dortmund, manakala Sevilla turun ke divisyen lebih rendah Liga Europa selepas menduduki tangga ketiga.

    “Satu daripada sebab ia adalah malam yang hebat buat Julian,” kata Guardiola. “Dia mencetak dua assists dan satu gol.

    “Kita tahu betapa bagusnya dia dan kualiti yang dimilikinya. Hari ini dia begitu sabar.”

    Haaland tidak mampu disekat ketika kedua-dua pasukan bertemu pada September dengan City menang 4-0.

    Tanpa penyerang Norway itu, skuad kendalian Guardiola tampak kurang kekuatan di bahagian serangan dengan hanya meledak empat gol dalam lima aksi terakhir. – AFP

    Aksi Julian Alvarez (tiga dari kiri) bersaing dengan Ivan Rakitic (tengah) dalam perlawanan antara Manchester City dan Sevilla di stadium Etihad, Manchester, England, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...