Alvin akur tidak sehebat penyanyi lain

Sedar kemampuan dan bakat diri tidak sehebat penyanyi lain, Alvin Chong, 29, enggan mengalah.

Akur tuah masih belum menyebelahinya dalam bidang nyanyian, penyanyi dan pelakon kelahiran Pulau Pinang itu tidak kisah sekiranya mengambil masa panjang untuk mengasah bakat nyanyiannya. Lebih dikenali sebagai pelakon, anak sulung daripada tiga beradik itu bermula sebagai penyanyi.

Biarpun muncul dengan beberapa single termasuk karya dalam Bahasa Melayu seperti Lagumu, Mencintaimu, Tajam dan Tak Terganti selain deretan lagu Bahasa Inggeris, tetapi belum meninggalkan impak sekuat penyanyi lain.

Bagaimanapun, percaturan terbaharu melancarkan single berentak reggaeton ciptaan Dedeq berjudul Sayangku Salmah sejak 21 Ogos lalu memberi harapan baharu buatnya.

“Saya sedar pembabitan dalam dunia nyanyian belum boleh dibanggakan lagi. Impak belum kuat seperti penyanyi lain. Tak meletup pun. Jadi, sebab itulah saya terus mencuba termasuk mengubah genre.

“Saya tak pernah berputus asa untuk bergelar penyanyi popular. Setidaknya, saya mencuba pelbagai genre lagu. Benar, sekarang orang lebih ingat saya sebagai pelakon. Mana tahu, ia akan berubah menjadi penyanyi suatu masa nanti,” katanya yang mula menyanyi sejak 2009. – Agensi

Alvin muncul dengan single baharu Sayangku Salmah. – Agensi