AMAF bincang impak pandemik

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN bagi Pertanian dan Perhutanan (AMAF) ke-43 dan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN bagi Pertanian dan Perhutanan Plus Three (AMAF+3) ke-21 yang berlangsung secara persidangan video, kelmarin.

Mesyuarat AMAF ke-43 dan AMAF+3 ke-21 telah dipengerusikan oleh Menteri Pertanian Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dr H Syahrul Yasin Limpo, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini.

Turut hadir semasa mesyuarat-mesyuarat berkenaan ialah setia-usaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan dari KSSUP, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan dan Autoriti Makanan Brunei Darussalam.

Semasa Mesyuarat AMAF ke-43, menteri-menteri ASEAN telah membincangkan impak pandemik COVID-19 kepada sektor-sektor makanan, pertanian dan perhutanan serta bersetuju bahawa pertanian merupakan salah satu sektor utama yang terjejas teruk oleh penularan pandemik COVID-19.

Mesyuarat itu bersetuju untuk menekankan usaha dalam pelaksanaan langkah-langkah pemulihan untuk memastikan bekalan makanan yang berterusan serta aktiviti perniagaan dan perkhidmatan kepada sistem makanan dan pertanian berfungsi.

Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan ketika menghadiri mesyuarat secara maya berkenaan. – Gambar serahan KSSUP

Mesyuarat itu juga membincangkan perkembangan, pencapaian dan cadangan kerjasama perhutanan, pertanian dan makanan dalam 2020-2021 khususnya tindakan-tindakan keutamaan di bawah Rangka Kerja Sekuriti Makanan Berintegrasi ASEAN (AFIS) dan Pelan Tindakan Strategik bagi Sekuriti Makanan ASEAN (SPA-FS) 2021-2025 supaya dapat memastikan pemakanan dan sekuriti makanan serta untuk meningkatkan hasil pendapatan petani-petani dalam rantau berkenaan khususnya dalam menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan.

Mesyuarat itu juga berpuas hati untuk mengambil maklum bahawa Rangka Kerja ASEAN untuk Menyokong Pengeluar Kecil Perhutanan, Pertanian dan Makanan, Koperasi dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi Meningkatkan Kualiti Produk untuk Memenuhi Standard Serantau dan Antarabangsa dan Memastikan Daya Saing, telah dapat disiapkan, di mana ia merupakan satu penyampaian utama (key deliverable) bagi pengerusi Brunei Darussalam pada 2021.

Sementara itu, semasa Mesyuarat AMAF+3 ke-21, menteri-menteri yang bersidang melahirkan perasaan berpuas hati dengan perkembangan yang dibuat dalam Strategi Kerjasama ASEAN+3 bagi Makanan, Pertanian dan Perhutanan (2016-2025) dalam bidang-bidang strategik seperti mengukuhkan sekuriti makanan, pembangunan tenaga biojisim, pengurusan hutan lestari, penyesuaian dan mitigasi perubahan iklim, mengukuhkan pertukaran dan rangkaian maklumat dan ilmu pengetahuan, memanfaatkan teknologi digital serta mengukuhkan kolaborasi bagi pembangunan dan penyelidikan.

Para menteri yang bersidang juga merakamkan penghargaan kepada negara-negara Plus Three bagi sokongan berterusan dalam memajukan kerjasama dalam bidang-bidang strategik berkenaan.