Amal amanah dengan adil

Oleh Sim Y. H. dan Syahmi Hassan

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Amanah wajib diamalkan setiap warga perkhidmatan awam dan berkhidmat tanpa amanah tidak bermakna kerana ia adalah tiang seri keadilan, melindungi dan membela rakyat berdasarkan ajaran agama.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan kepentingan amanah ini semasa berkenan bertitah pada Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) ke-26 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Baginda bertitah, “Semua orang dilihat cenderung dan suka bercakap mengenai keadilan. Tetapi bagi Beta, bercakap sahaja belumlah memadai tanpa melaksanakannya. Keadilan hanya akan gemerlap apabila dilaksanakan. Kerana itu, kita sama sekali tidak mampu untuk berkompromi dengan sebarang ketidakadilan. Jika Perkhidmatan Awam lemah melaksanakan keadilan, maka kepentingan rakyat pasti terjejas kerana itulah undang-undang digubal, untuk dilaksanakan.”

Sehubungan itu Baginda menggesa warga perkhidmatan awam untuk berusaha dan berinisiatif ke arah kemanfaatan masyarakat secara langsung.

“Mengenai usaha atau inisiatif ini, masih saja ada warga awam di peringkat tertentu yang mengabaikannya. Misalnya, telah didapati satu isu, yang sepatutnya sudah boleh selesai lapan tahun yang lalu, tetapi sehingga kini, ia masih saja belum lagi diselesaikan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan anugerah kepada salah seorang penerima.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah pada Majlis HPA ke-26.

“Mengapakah ia belum diselesaikan? Adakah kerana takut untuk membuat keputusan? Atau kerana masih ragu untuk membuat keputusan? Kalau inilah sebabnya, mengapakah tidak dirujuk kepada ketua atau bertanya langsung kepada pihak tertentu untuk mendapat pencerahan?” soal Baginda.

Baginda menegaskan usaha atau inisiatif seperti itu, nampaknya tidak dibuat dan oleh itu, isu lapan tahun berkenaan belum lagi terungkai.

Baginda bertitah, “Masa lapan tahun bukannya pendek. Macam-macam boleh berlaku dalam jangka masa tersebut. Misalnya kita ada projek membangun sebuah bangunan, maka masa lapan tahun tertangguh itu boleh saja mendatangkan kerugian besar, seperti harga barang mungkin naik melambung sehingga dua atau tiga kali ganda.

“Inilah akibat dari tidak adanya usaha atau inisiatif, yang juga boleh ditafsir sebagai tidak adanya amanah dalam menjalankan tugas dengan baik.”

Manakala menyentuh mengenai pelaksanaan undang-undang, bercakap sahaja mengenainya tidak guna, kerana jenayah dan pelanggaran undang-undang masih sahaja berlaku dan tidak ditangani, tekan Baginda.

“Misalnya satu contoh, kita sudah ada Akta Kesalahan-kesalahan Berkaitan Pengotoran di Tempat-tempat Awam dan Pembuangan Sampah, tetapi pembuangan sampah masih terus berlaku tanpa kawalan berkesan.

“Ini dapat dilihat dari sungai-sungai dan longkang-longkang yang terus dicemari sampah, sedang di tempat lain, orang membuang puntung rokok pun dikenakan tindakan undang-undang.

“Contoh lain, kita juga sudah ada Akta Perintah Tembakau untuk melarang antara lain, penggunaan iklan-iklan merokok, mengawal penjualan, promosi, termasuk melarang merokok di tempat-tempat dan kenderaan-kenderaan tertentu dan seumpamanya, namun masih boleh dilihat kelibat orang merokok di pasar-pasar atau tempat-tempat awam lain tanpa diambil tindakan,” titah Baginda.

Baginda menegaskan, asas untuk bertindak sudah pun cukup kuat daripada segi rokok membahayakan kesihatan bahkan hukum merokok sudah pun difatwakan haram, dan mempersoalkan di manakah amanah dan sensitiviti pihak berkenaan dalam melaksanakan
akta ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia memuji tema sambutan, ‘Perkhidmatan Awam Berintegriti dan Berinovasi, Pemangkin Pembangunan’ yang menurut Baginda cukup menarik.

“Tetapi jika tema sahaja menarik sedang perkhidmatan kurang atau tidak menarik, maka ini namanya satu kepincangan. Setiap kepincangan mestilah diatasi,” tekan Baginda.

Baginda walau bagai-manapun masih percaya dan optimistik terhadap perkhidmatan awam yang masih berpeluang dan mampu untuk menyerlahkan perkembangan optimum setiap kementerian, jabatan dan pegawai serta kakitangan kerajaan terutamanya melalui skim penganugerahan-penganugerahan yang munasabah.

Sehubungan dengan itu, Baginda Sultan menzahirkan perasaan gembira dan mengucapkan tahniah kepada penerima beberapa anugerah berdasarkan merit bagi Anugerah Inovasi Perdana, Anugerah Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA), Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam dan Anu-gerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam.