Amal dasar perdagangan terbuka – APEC

KUALA LUMPUR, 21 MEI – Ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu mengamalkan dasar perdagangan terbuka untuk melindungi jaminan makanan di rantau ini berikutan COVID-19, menurut ringkasan dasar baharu oleh Unit Sokongan Dasar APEC.

Ringkasan dasar mengenai sekatan eksport dan jaminan makanan dalam konteks pandemik baru-baru ini menunjukkan pelbagai sekatan pergerakan dilaksanakan di sempadan telah menjejaskan bekalan makanan, terutamanya yang mudah rosak seperti buah-buahan, sayur-sayuran, tenusu, makanan laut dan daging.

“Sebahagian kerajaan mengambil langkah terhadap episod pembelian panik dengan mengenakan larangan eksport atau sekatan ke atas produk makanan tertentu, sebagai menjamin ketersediaan makanan,” kata Penganalisis Kanan Unit Sokongan Dasar APEC Carlos Kuriyama dalam kenyataan hari ini.

Kuriyama, yang merupakan penulis ringkasan dasar itu, menjelaskan langkah-langkah ini boleh mengancam jaminan makanan dan menaikkan harga makanan, senario yang akan memberi kesan kepada rakyat, terutamanya isi rumah miskin.

Beliau berkata walaupun sekatan eksport dibenarkan dalam situasi tertentu oleh peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), ia tidak akan mengganggu perdagangan untuk meningkatkan akses kepada makanan dengan mengurangkan kadar tarif import daripada mengenakan sekatan eksport.

“Dengan berbuat demikian, pengguna dan syarikat tempatan akan mempunyai akses kepada kuantiti produk makanan yang lebih besar pada harga lebih rendah berikutan ketersediaan produk import yang meningkat,” katanya.

Menurut ringkasan dasar itu, sekurang-kurangnya empat ekonomi APEC telah melaksanakan sekatan eksport, memberi kesan kepada produk makanan sejak awal tahun ini.

Langkah-langkah itu termasuklah larangan eksport sementara dan kuota untuk produk makanan seperti beras, kacang soya, gandum, jagung, barli dan telur – semua ruji penting untuk keluarga.

Persekitaran jaminan makanan rantau APEC dalam keadaan yang baik hari ini berbanding krisis makanan global 2007–2008 berikutan nisbah stok kepada penggunaan secara kolektif untuk jagung, beras dan gandum telah meningkat dua kali ganda sejak itu.

Bagaimanapun, hanya kurang satu pertiga daripada ekonomi APEC meningkatkan nisbah beras dan gandum mereka, dan lebih daripada separuh ekonomi pada masa ini mempunyai nisbah stok kepada penggunaan jagung mereka pada paras rendah, di bawah 10 peratus. – Bernama