Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Amal guna semula barangan terpakai

    Oleh Amri HTZ

    Palet kayu terpakai yang terbuang begitu sahaja sering kali boleh ditemui di mana sahaja terutama di kawasan perindustrian.

    Walaupun sebahagian palet yang terpakai terdiri daripada kayu-kayu yang kurang elok, namun kebanyakan kayu-kayu yang digunakan untuk mereka palet tersebut masih baharu, kukuh dan mempunyai permukaan yang sudah rata.

    Kadangkala ia dijual semula kepada orang ramai dan sesetengahnya hanya diberikan secara percuma. Untuk itu manfaatkan barangan terpakai.

    Barangan yang diperlukan

    Kayu berukuran 2 ½” x 3 ½” (berasal dari palet terpakai), alat ketam kayu atau mesin ketam, mesin pemotong kayu, pita pengukur, kertas pasir pelbagai ukuran (400, 800, 1,500 grit), mesin gerudi, mata gerudi berukuran 50mm, webing upholsteri, wood finish, gam kayu atau epoksi dau tan (campuran resin A dan pengeras B), tukul, pry bar, dowel, gergaji fleksibel atau pahat kayu dan alat-alat menyapukan wood finish.

    Langkah pembuatan yang cukup mudah

    Palet kayu yang diperoleh pada kebiasaannya mempunyai beberapa jenis paku digunakan untuk mencantumkannya.

    Ini memerlukan awda untuk menanggalkan keseluruhan cantuman sebelum membolehkan awda menggunakan kayu-kayu tersebut.

    Blok kayu yang telah ditanggalkan daripada palet terpakai perlu dibersihkan dan diratakan permukaannya menggunakan ketam kayu.
    Salah satu cara untuk memberi tekanan kepada webing upholstri untuk mengekalkan kedudukannya sementara menunggu gam mengering.
    Tandakan kawasan di mana webing upholstri akan ditempatkan agar tidak berlaku kesilapan.
    Bahagian bawah rekaan yang telah dilekatkan dengan lapik daripada span pencuci pinggan bagi melindungi permukaan di mana ia hendak diletakkan.

    Ukuran-ukuran paku yang digunakan akan menentukan mudah atau sukarnya awda menanggalkan kayu tanpa membuatkannya patah mahupun terbelah.

    Mula-mula gunakan pry bar dengan memasukkannya pada bahagian-bahagian terdedah (ruangan di antara setiap kepingan kayu) dan umpil perlahan sehingga kayu tertanggal daripada kedudukan.

    Selain menggunakan pry bar, awda juga boleh menggunakan tukul secara langsung namun ruangan yang terhad untuk mengayunkan tukul akan menjadi penghalang.

    Oleh itu ia memerlukan awda menggunakan sebatang kayu sokongan untuk dimasukkan pada ruangan terdedah bagi menolak atau menukul kayu kepingan papan tersebut menerusinya.

    Kepingan kayu yang telah ditanggalkan akan meninggalkan bahagian tengah kayu yang biasanya terdiri daripada kayu berukuran 2 ½” x 3 ½” atau lebih sedikit daripada ukuran tersebut.

    Kayu-kayu yang telah diperoleh tersebut kemudiannya akan dibersihkan daripada secara material berbentuk besi sama ada paku, skru mahupun stapler.

    Ini bagi memastikan alatan seperti ketam kayu, gergaji mahupun pahat yang digunakan nanti tidak akan rosak ketika terkena padanya.

    Setelah dibersihkan, bagi permukaan kayu yang mempunyai bekas lubang paku yang terlalu menonjol dan dirasakan akan mengganggu hasil akhir rekaan, disarankan awda untuk menutupinya menggunakan dowel kayu.

    Namun terlebih dahulu ukuran dowel yang digunakan bersesuaian dengan lubang yang hendak ditutup. Jika lubang terlalu kecil, awda boleh membesarkan lubang tersebut dengan cara menggerudinya. Bagi lubang yang terlalu besar daripada dowel, awda perlu mencari dowel yang bersesuaian untuknya atau meraut kayu menjadi bulat sesuai dengan ukuran lubang yang hendak ditutup.

    Sapukan permukaan dowel menggunakan gam kayu sebelum memasukkannya dan biarkan ia mengering selama setengah jam sebelum memotong lebihan dowel yang terkeluar.

    Setelah gam mengering, potong lebihan dowel menggunakan gergaji fleksibel atau menggunakan pahat kayu. Selesai melakukannya, bagi permukaan kayu yang kurang elok, awda perlu membuangkan permukaan tersebut menggunakan ketam kayu untuk mendapatkan permukaan kayu yang lebih cantik di bahagian dalam.

    Menggunakan mesin ketam kayu merupakan langkah yang pantas namun bagi awda yang tidak memilikinya, alat ketam kayu manual dan kertas pasir merupakan antara pilihan yang ada.

    Bagi yang menggunakan alat ketam kayu pastikan bilah ketam dalam keadaan tajam dan ditetapkan tidak terlalu terkeluar daripada bahagian permukaan bawah alat agar permukaan yang diketam tidak terlalu tebal menyebabkannya sukar atau tidak boleh disorongkan.

    Manakala untuk penggunaan kertas pasir, gunakan yang berbentuk kasar pada awal proses iaitu 400 grit di-ikuti dengan lebih halus bagi mendapatkan permukaan yang lebih licin.

    Gosok permukaan luar kayu sehingga menampakkan bahagian dalaman yang lebih bersih.

    Setelah melakukan langkah-langkah seperti yang diperlukan, awda boleh memotongkan kayu-kayu tersebut dengan panjang yang diperlukan.

    Dua panjang berbeza akan direka pada projek ini bertujuan memastikan keseimbangan ketika ia disusun di ruangan terpilih.

    Dengan menetapkan rip fence mesin pemotong kayu meja dengan jarak 6”, sorong material dengan perlahan menggunakan crosscut sled atau push stick.

    Lakukan langkah sama untuk mendapatkan rekaan dengan ukuran 4”.

    Jika awda inginkan lebih banyak rekaan dengan ukuran berlainan, pastikan ketinggian setiap satu dalam keadaan seimbang di antara satu dengan yang lain.

    Salah satu bahagian hujung kayu akan dijadikan bahagian atas pemegang linin yang memerlukan awda mereka ruangan dengan kedalaman lebih kurang 20mm sesuai dengan ukuran lilin digunakan. Tebuk ruangan menggunakan mata gerudi tersedia.

    Pilih mata gerudi jenis frostner agar ruangan dalaman tidak lagi perlu dibuangkan secara manual menggunakan pahat kayu.

    Bagi bahagian sisi rekaan, webing upholstri akan digunakan untuk menghiasinya. Dengan menandakan bahagian tengah rekaan, tetapkan kedudukannya menggunakan gam kayu atau gam dua tan.

    Ketika menunggu gam mengering, gunakan paku kecil atau stapler untuk menetapkan kedudukan webing upholstri atau hanya meletakkan barangan berat di atasnya.

    Selain itu, menggunakan sekeping kayu dan memberikan tekanan menggunakan alat pengepit kayu juga boleh dilakukan.

    Dalam memastikan permukaan rekaan tampak lebih menarik, sapukan wood finish pilihan menggunakan berus atau span. Bagi yang suka warna yang berlainan, pilih wood finish jenis stain sesuai dengan minat tersendiri.

    Dengan langkah terakhir, awda kini boleh meletakkan rekaan di ruangan bersesuaian, sama ada untuk menghiasinya atau meneranginya dengan cahaya lilin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...