Amal kebersihan semua aspek

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Menjaga kebersihan sama ada dari segi rohani mahupun jasmani amat penting dan kedua-duanya tidak boleh dipisahkan kerana ia melambangkan keteguhan iman seseorang terhadap Allah SWT.

Khatib dalam Khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Membudayakan Amalan Kebersihan Dalam Kehidupan’ hari ini seterusnya me-ngingatkan untuk sentiasa mengamalkan kebersihan dalam semua perkara yang melibatkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Ini kerana dengan menjaga dan membudayakan kebersihan itu, membolehkan kita menikmati kehidupan dan suasana yang bersih dan tenang, udara yang segar dan terhindar daripada segala penyakit,” tambahnya.

Selain itu, Agama Islam juga sangat mengambil berat mengenai penjagaan kebersihan rohani lebih-lebih lagi kebersihan hati iaitu dengan menjauhkan diri daripada sifat mazmumah seperti marah, hasad dengki, ujub, riak dan seumpamanya.

Semua ini, jelas khatib, tidak akan dapat dihindarkan jika tidak berusaha untuk menyucikan hati nurani kerana dari hati itulah punca segala penyakit zahir dan batin.

Menjaga kebersihan hendaklah dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan seharian, sama ada kebersihan diri sendiri, tempat tinggal, masjid, tempat-tempat awam dan seumpamanya.

Katanya lagi, “Ini lebih-lebih lagi, dunia pada ketika ini masih lagi diancam oleh pandemik koronavirus dan kita hendaklah meningkatkan kesedaran untuk lebih mengutamakan aspek keselamatan dan aspek kebersihan.”

Kita adalah bertanggungjawab untuk menjadikan tempat-tempat ibadat seperti masjid, surau dan balai ibadat sentiasa dalam keadaan yang selamat dan bersih selain mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi dan menjaga etika ketika batuk dan bersin, kerap membasuh tangan dengan air yang bersih dan sabun.

Khatib dalam khutbahnya juga mengingatkan khususnya jemaah yang menghadiri diri sembahyang fardu Jumaat, memakai penutup mulut dan hidung adalah dimestikan ketika berada di dalam kawasan masjid, dimestikan membawa tikar sembahyang atau sejadah sendiri, mengimbas kod QR apabila memasuki masjid, surau dan balai ibadat.

“Sebagai mana yang telah ditekankan oleh Kementerian Kesihatan, siapa yang tidak mematuhi arahan ini adalah menjadi kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 yang mana seseorang itu boleh dikenakan denda kompaun sehingga $5,000 atau jika sabit kesalahan di mahkamah, boleh dikenakan denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau keduanya sekali,” tegasnya.

Di samping itu, para jemaah juga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi panduan dan nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak yang berwajib di negara ini bagi sama-sama memastikan wabak ini terkawal daripada menular.

“Adapun membudayakan amalan hidup bersih bermula dari rumah, ibu bapa dan penjaga hendaklah membimbing dan mendidik ahli keluarga mengenai aspek kebersihan dan jadikan keluarga yang mementingkan kebersihan yang akhirnya akan menjadikan pula masyarakat dan negara yang mengutamakan kebersihan.”

Sehubungan itu, khatib seterusnya menyeru untuk sama-sama menjaga dan membudayakan amalan kebersihan dalam kehidupan seharian sama ada kebersihan di tempat awam, tempat persendirian mahupun kebersihan jiwa dan rohani.

Dengan mengamalkan kebersihan dalam kehidupan, jelas khatib, Negara Brunei Darussalam akan menjadi sebuah negara yang indah, bersih dan bebas daripada sebarang penyakit dan mara bahaya.