Amal kebersihan tangan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Negara Brunei Darussalam seperti negara-negara lain di seluruh dunia, berdepan ancaman serius dalam kesihatan awam kerana kemunculan dan penyebaran kekebalan ubat-ubatan pembunuh kuman.

Kemunculan dan penyebaran ini turut meningkatkan kos perbelanjaan kesihatan dan kemungkinan kembalinya negara ke era seperti sebelum penemuan antibiotik di mana jangkitan kuman yang biasa sahaja boleh mengancam nyawa.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Jaafar mendedahkan perkara itu semasa melancarkan Kempen

Kesedaran Kebersihan Tangan 2019 di lobi Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, penyebaran kuman-kuman yang boleh membahayakan ini tanpa disedari kebanyakannya berlaku semasa aktiviti rawatan kesihatan terutamanya melalui tangan yang merupakan medium paling banyak merebakkan kuman daripada pesakit kepada pesakit, ke persekitaran dan sebagainya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa menunjukkan enam langkah pembersihan tangan yang betul semasa kempen tersebut.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika melawat pameran dan mengunjungi kiosk jualan Hospital RIPAS.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan risalah menjaga kebersihan tangan kepada salah seorang pesakit.

Malahan tangan juga merupakan medium penyebaran berpotensi tinggi menyebarkan kuman membahayakan dan untuk mengatasi masalah ini, langkah mudah namun terbukti berkesan adalah dengan membersihkan tangan.

“Walau bagaimanapun, pematuhan kebersihan tangan di negara ini masih lagi rendah berdasarkan kajian-kajian yang pernah dijalankan dan ini menimbulkan kebimbangan dalam kesihatan terutamanya semasa pesakit menerima rawatan sama ada daripada kemudahan kesihatan di hospital, pusat kesihatan dan juga klinik kesihatan,” kata Yang Berhormat Dato.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak sama-sama menitikberatkan dan bertanggungjawab dalam melaksanakan kebersihan tangan dengan betul.

Bagi memastikan pematuhan itu, Yang Berhormat Dato menjelaskan Kementerian Kesihatan meluluskan Dasar Kebersihan Tangan kementerian Kesihatan bagi meningkatkan kempen kebersihan tangan dalam kalangan kakitangan kesihatan dan mengagihkan poster peringatan langkah pembersihan tangan yang betul.

Ini adalah untuk memberikan garis pandu dan peringatan untuk semua kakitangan kesihatan yang dapat diguna pakai di mana-mana kemudahan kesihatan di Negara Brunei Darussalam.

Beliau turut difahamkan, antara usaha yang giat dilaksanakan termasuk meningkatkan penyediaan kemudahan pembersihan tangan seperti penyediaan ‘alcohol hand rub’ atau ‘hand sanitisers’ di tempat-tempat yang strategik seperti berdekatan perawatan pesakit.

Selain itu, poster-poster peringatan pembersihan tangan dan langkah-langkah pembersihan tangan yang betul, mengadakan latihan formal bagi kakitangan kesihatan dan memantau kadar pematuhan kebersihan tangan dalam kalangan kakitangan kesihatan juga dilaksanakan.

Berikutan pelaksanaan latihan formal di kalangan kakitangan kesihatan di Hospital RIPAS, kadar pematuhan kebersihan tangan telah meningkat kepada 53 peratus pada Oktober 2018 berbanding 23 peratus dalam bulan Jun 2015.

“Meskipun kadar ini masih di bawah sekurang-kurangnya 85 peratus yang diperlukan untuk pencegahan jangkitan kuman yang membahayakan, inisiatif kempen ini sangat penting untuk mempertingkatkan pematuhan tersebut, sekali gus mengawal kualiti dan keselamatan dalam memberikan rawatan kepada pesakit.

“Amalan kebersihan tangan perlu dikukuhkan bukan sahaja dalam kalangan kakitangan kesihatan, malahan semua pihak yang terbabit di kemudahan-kemudahan kesihatan di negara ini,” ujarnya.