Amal pemakanan sihat, sederhana semasa berbuka

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Sempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini, di samping terus mengambil langkah berjaga-jaga terhadap wabak COVID-19,

Kementerian Kesihatan telah membuat beberapa saranan serta nasihat kesihatan yang boleh dilakukan sepanjang bulan puasa ini bagi menjaga dan menguatkan daya-tahan kesihatan tubuh badan.

“Dalam pengambilan makanan, marilah kita bersama mengamalkan pemakanan yang sihat iaitu seimbang dan bersederhana. Hadkan makanan berminyak atau berlemak, kurangkan garam serta gula dalam masakan dan minuman,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi
Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menyarankan agar meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran serta minum air yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya lapan hingga 12 gelas air setiap hari yang boleh diambil semasa berbuka, selepas solat Sunat Tarawih, sebelum tidur dan semasa sahur.

Di samping itu, aktiviti fizikal ringan dan sederhana masih dapat dilakukan di bulan Ramadan, menurutnya lagi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap pada sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.

“Aktiviti fizikal seperti berjalan kaki, berbasikal, berkebun ataupun senaman ringan bolehlah dilakukan di awal pagi, sebelum berbuka puasa atau selepas solat Sunat Tarawih sekitar 30 minit sehari.”

Bagi mereka yang masih merokok, Yang Berhormat Dato menasihatkan untuk merebut peluang keemasan di bulan Ramadan ini untuk berhenti merokok sepenuhnya demi kesihatan diri dan keluarga tersayang.

“Akhirnya, Kementerian Kesihatan ingin mengucapkan selamat menyambut awal bulan Ramadan dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua umat Islam khususnya yang berada di Negara Brunei Darussalam,” ucapnya.

Beliau juga menyarankan kepada orang ramai untuk mengambil kesempatan di bulan Ramadan ini untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dengan bertarawih dan beribadat di rumah masing-masing serta berdoa semoga Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dirahmati Allah SWT, diberikan petunjuk dan seterusnya bebas daripada wabak COVID-19 ini.