Amal zikir, doa menghindar pandemik COVID-19

Oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Dalam usaha bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan ketika ini, pelbagai usaha dan langkah terus dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan khususnya untuk memastikan keselamatan penduduk di negara ini terus terjamin.

Sehubungan itu, pengagihan buku zikir-zikir dan doa-doa memohon kepada Allah SWT agar semua penduduk di negara ini terselamat daripada segala jenis penyakit dan bala hari ini diteruskan lagi di setiap daerah di negara ini.

Di Daerah Brunei dan Muara, pengagihan diadakan di Pandu Lalu McDonald’s dan Jolibee, Lambak Kanan. Pengagihan ini merupakan satu inisiatif Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, di mana setiap buku-buku berkenaan diberikan kepada pelanggan-pelanggan yang membeli makanan di Pandu Lalu McDonald’s dan Jolibee khususnya kepada mereka yang beragama Islam.

Penyerahan buku zikir dan doa tersebut telah diagihkan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

McDonald’s dan Jolibee masing-masing menerima sebanyak 200 naskhah buku zikir dan doa, di mana sebanyak 15,000 naskhah telah dicetak untuk diagih-agihkan kepada orang ramai serta kepada sektor kerajaan dan swasta di negara ini.

Haji Haslan ketika mengagihkan buku zikir dan doa kepada pelanggan di Stesen Minyak Sungai Bakong, Lumut. – Gambar oleh Daniel Lim
Haji Amir Hisham ketika menyerahkan buku zikir dan doa kepada pelanggan di Pandu Lalu McDonald’s. – Gambar oleh Yusrin Junaidi

Bagi Daerah Tutong, penyerahan berlangsung di Stesen Minyak Penyurat Haji Abu Bakar, Kampung Suran, Pekan Tutong disempurnakan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Haji Azman bin Haji Musa.

Sementara di Daerah Belait, penyerahan diadakan di Stesen Minyak Sungai Bakong, Lumut dan telah diagihkan oleh Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohammad Noorsuffian bin Haji Yahya dan Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Haslan bin Haji Shahbudin.

Terdahulu, satu sesi taklimat keselamatan telah disampaikan oleh Pengurus HSSE Korporat Mashhor, Awang Rizal bin Dr Haji Abdul Latif diikuti dengan sesi pengagihan buku berkenaan oleh kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid dan stesen minyak berkenaan.

Manakala di Daerah Temburong, pengagihan dilaksanakan di Stesen Minyak Negalang oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Haji Jamil bin Haji Abdul Ghani.

Pengagihan berkenaan bertujuan bagi memudahkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan pembacaan zikir dan doa melalui buku itu, lebih-lebih lagi negara ketika ini berdepan dengan wabak COVID-19.

Selain itu, ia juga bagi meningkatkan kesedaran orang ramai dalam sama-sama berganding bahu menangani penularan wabak COVID-19 terutama kepada masyarakat dan penduduk di negara ini dengan sentiasa mengamalkan kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan dan sebagainya.

Usaha dan kerjasama dari semua pihak seumpama ini diharap akan dapat sama-sama menangani dan mengekang wabak COVID-19 daripada terus menular selain berdoa agar pesakit diberikan kesembuhan sekali gus terhindar daripada wabak tersebut. Orang ramai bolehlah mendapatkan buku tersebut berbentuk format PDF dengan mengimbas kod QR dengan melayari laman sesawang www.kheu.gov.bn.