Wednesday, April 17, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Amalan bermucang-mucang eratkan perpaduan masyarakat

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Awang Abdul Aziz

    Amalan saling bantu-membantu sesama sendiri sama ada berbentuk tenaga, wang, idea dan sebagainya, sememangnya dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan keluarga serta rakan-rakan.

    Inilah budaya masyarakat Brunei yang sudah menjadi warisan nenek moyang kita yang disemai dari satu generasi ke generasi seterusnya.

    Negara Brunei Darussalam sememangnya memiliki masyarakat yang bersatu padu mengamalkan dan mengukuhkan nilai-nilai luhur, adat resam dan kebudayaan Melayu sebagai nilai luhur budaya yang dominan dalam masyarakat berbudaya, berbangsa dan beragama.

    Nilai-nilai luhur tersebut antaranya adalah sikap berawar galat, hormat-menghormati, sayang-menyayangi, sikap bertolak ansur dan saling bergotong-royong.

    Budaya bergotong-royong atau lebih dikenali dalam masyarakat kita sebagai bermucang-mucang merupakan satu amalan yang mulia, lebih-lebih lagi dalam mengungkayahkan aktiviti berkebajikan.

    Sekumpulan belia MPK Sengkarai, Daerah Tutong termasuk belia masjid dan penduduk kampung telah meluangkan masa hujung minggu melaksanakan aktiviti kempen kebersihan kawasan Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai, baru-baru ini.
    Awang Abdul Aziz semasa ditemui penulis.
    Beberapa orang belia dan penduduk kampung membersihkan balai ibadat lama Kampung Sengkarai.

    Dalam aktiviti bermucang-mucang ini segala kerja yang berat akan menjadi lebih ringan ibarat kata pepatah ‘Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’.

    Menjaga alam sekitar tanggungjawab bersama

    Sehubungan itu dalam usaha meningkatkan kesedaran untuk menjaga alam sekitar di negara ini, sekumpulan belia Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkarai, Daerah Tutong yang diketuai oleh Ketua Kampung Sengkarai Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan serta penduduk kampung telah meluangkan masa hujung minggu dengan aktiviti kempen kebersihan di kawasan Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai, baru-baru ini.

    Semasa ditemui Media Permata, Awang Abdul Aziz merakamkan rasa syukur berkesempatan meluangkan masa melakukan kegiatan amal sedemikian bersama masyarakat setempat.

    “Sejujurnya menyaksikan penglibatan masyarakat setempat dengan jiwa sukarela ini pastinya suasana inilah yang begitu dirindui apabila mengimbau kenangan sewaktu dulu-dulu, di mana kebiasaannya penduduk kampung tidak terlepas dengan budaya bermucang-mucang setiap kali mengadakan aktiviti kekeluargaan mahu pun kemasyarakatan.

    “Alangkah indahnya jika budaya ini sentiasa diterapkan dalam kehidupan pada masa ini terutamanya dalam kalangan anak-anak muda.

    “Alhamdulillah, meskipun ada yang antara mereka yang sibuk bekerja, mengurus rumah tangga namun hari ini mereka tampil dengan penuh ketulusan,” ujarnya.

    Dalam pada itu, beliau turut menaruh harapan agar para belia tanah air terus bangkit mewarnai kehidupan masyarakat setempat dengan mengungkayahkan pelbagai kegiatan penuh bermanfaat secara holistik tidak kiralah di kawasan kampung mahu pun bandar untuk terus mengembleng tenaga demi menggapai kemajuan negara.

    “Sambil memperindahkan kawasan kampung, ia juga secara tidak langsung dapat mengeluarkan peluh seketika demi menuju ke arah warga sihat,” ujarnya.

    Kempen berkenaan merupakan susulan daripada kempen membersihkan balai ibadat lama Kampung Sengkarai pada minggu sebelumnya manakala kempen akan diteruskan lagi ke kawasan perkuburan kampung tersebut dalam masa terdekat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China alu-alukan pelaburan asing dari Jerman

    BEIJING, 16 APRIL - Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng bertemu dengan delegasi ekonomi Jerman yang mengiringi Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam lawatan ke...