Oleh Ak Zaki Kasharan
TUTONG, 26 JULAI – Beberapa langkah pengawalan bagi membendung penularan wabak COVID telah dilakukan semasa Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong, hari ini, dalam memastikan kesejahteraan semua pengunjung dan mereka yang terlibat dalam pengendalian majlis.
Para pengunjung yang hadir terlebih dahulu dikehendaki untuk melakukan ujian pantas antigen (ART) sebelum hadir ke Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong dan memuat naik keputusan ART ke aplikasi BruHealth atau dengan menggambar keputusan ART menggunakan telefon bimbit masing-masing dengan menulis nama, hari, tarikh dan jam.
Hanya individu yang mendapat keputusan negatif sahaja yang dibenarkan masuk.
Sementara itu, orang ramai juga dimestikan sentiasa memakai pelitup muka serta digalakkan untuk mensanitasi tangan, tidak bersalam-salaman, sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal.
Manakala bagi individu yang mempunyai simptom-simptom seperti demam panas, batuk selesema, masalah pernafasan dan sebagainya turut dinasihatkan untuk tidak menghadiri majlis berkenaan.
Salah seorang pengunjung yang ditemui, Hajah Siti Rugayah binti Haji Dagang mengulas mengenai kelancaran acara tersebut.
“Kami merasa sangat beruntung dan bertuah apabila berpeluang menghadirkan diri ke majlis ramah mesra pada pagi ini seperti yang diadakan pada tahun-tahun sebelum ini yang merupakan peluang bagi rakyat jelata khususnya penduduk yang tinggal di Daerah Tutong bertemu dan bersua muka bersama raja kesayangan kami.
“Dengan adanya penjarakan sosial dan arahan-arahan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan serta pihak-pihak yang tertentu, acara pada hari ini dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna.
“Di samping itu, kerjasama rakyat jelata yang hadir dan mematuhi segala peraturan yang disarankan amat dibanggakan. Oleh itu, saya berharap, bukan sahaja dalam acara pada pagi ini, orang ramai juga dapat terus mematuhi segala peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam sama-sama memastikan kesejahteraan seluruh penduduk Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara, aman makmur dan sejahtera,” tambah beliau.