Salah satu kebimbangan yang sering timbul dalam kalangan pembeli atau bakal pembeli kereta elektrik (EV) adalah mengenai ketahanan bateri.
Menurut pandangan mereka, selepas 160,000 kilometer (km) atau lapan tahun, bateri EV mungkin rosak dan tidak dapat digunakan lagi.
Pada dasarnya, terdapat jaminan bahawa dalam tempoh lapan tahun atau 160,000km, bateri EV tidak akan menghadapi masalah, dan kualiti sistem trenkuasa dijamin oleh pengeluar. Walau bagaimanapun, yang perlu menjadi kebimbangan pembeli adalah keadaan bateri selepas tempoh waktu yang disebutkan tadi.
Secara umumnya, bateri ion litium akan mengalami penurunan prestasi selepas digunakan dalam tempoh waktu tertentu, diukur dalam peratusan. Kemungkinan besar, selepas lapan tahun, ia mungkin mengalami penurunan dan hanya mampu menyimpan sehingga 80 peratus tenaga berbanding kapasitinya yang asal, yang boleh menyebabkan jarak pemanduan berkurang.
Menurut laman Mekanika, pada bulan Ogos 2023, satu kajian berdasarkan data 6,300 unit Tesla Model 3 daripada laman Recurrent Auto mendapati, kebanyakan Tesla Model 3 masih mengekalkan keupayaan mengekalkan cas sehingga 90 peratus walaupun selepas lima tahun digunakan.
Data ini disokong oleh salah seorang pemilik Tesla Model 3, Andy Slye di saluran YouTube dengan menunjukkan Tesla Model 3 miliknya berupaya menyimpan 95 peratus tenaga selepas dipandu sejauh 217,000km.
Model 3 miliknya merupakan varian Long Range yang menggunakan bateri Lithium NMA (Nickel Manganese Aluminium), bateri yang sangat mudah untuk mengalami degradasi sekiranya dicas melebihi 80 peratus dengan kerap. Biarpun mempunyai keupayaan menyimpan tenaga yang lebih banyak berbanding LFP, kelemahan ini membuatkannya kurang digemari.
Menurut Andy, dia hanya mengamalkan dua kaedah mudah sahaja bagi menjadikan bateri Tesla Model 3 miliknya tahan lasak. Kaedah ini juga boleh diamalkan oleh kebanyakan pengguna EV bagi memanjangkan jangka hayat bateri.
Pertama, Andy mengecas Tesla Model 3 miliknya dengan menggunakan pengecas AC biasa di rumah ataupun mengoptimumkan pengecasan biasa yang ditawarkan oleh Tesla.
Andy juga turut mengecas dengan menggunakan pengecas pantas DC sekiranya perlu untuk perjalanan jarak jauh.
Kedua, Andy meletakkan had pengecasan pada maksimum 80 peratus sahaja untuk setiap kali sesi pengecasan. Limit ini boleh ditetapkan pada semua EV agar proses pengecasan tamat pada 80 peratus sahaja, dan sebenarnya untuk kegunaan harian Andy mengatakan 80 peratus sudah cukup.
Data daripada Recurrent Auto juga mengatakan tiada perbezaan yang ketara antara EV yang menggunakan pengecas DC dengan kerap berbanding dengan pengecas AC. Keadaan ini menunjukkan ciri pre-conditioning pada kebanyakan EV moden mampu menyediakan bateri untuk sesi pengecasan pantas dengan lebih efisien tanpa merosakkan bateri. – Agensi