Amalkan kebersihan diri

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Agama Islam merupakan agama syumul yang merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah dalam aspek penjagaan kebersihan.

Penjagaan kebersihan pula merangkumi aspek rohani dan jasmani, di mana di dalam agama Islam, kebersihan tubuh badan amat menitikberatkan aspek kedua-duanya kerana ia merupakan perkara yang sangat disukai oleh Allah dan rasulNya. Perkara tersebut merupakan antara inti pati yang disampaikan oleh khatib dalam khutbah Jumaat hari ini.

Khatib dalam khutbah Jumaat seterusnya menambah, agama Islam sangat menganjurkan umatnya sentiasa mengamalkan kebersihan dalam semua perkara iaitu pada diri sendiri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

Kebersihan itu boleh memberikan ketenangan, kesihatan yang terjamin, kesejahteraan pada semua, selain agama Islam juga sangat mengambil berat mengenai penjagaan kebersihan rohani lebih-lebih lagi dalam kebersihan hati iaitu menjauhkan diri daripada sifat mazmumah seperti marah, hasad dengki, kedekut, kasihkan dunia, wujub, takbur, ria dan sebagainya.

Menurut khatib lagi, semua sifat mazmumah itu tidak dapat dihindarkan jika tidak berusaha menyucikan hati nurani kerana dari hati itulah punca segala penyakit zahir dan batin.

“Menjaga kebersihan hendaklah dijadikan sebagai satu budaya dalam kehidupan seharian, perlu disedari mengabaikan aspek kebersihan boleh menyebabkan tersebarnya pelbagai penyakit seperti denggi, kolera, keracunan makanan dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Dengan mengabaikan aspek kebersihan juga boleh mengakibatkan alam sekitar menjadi tidak sihat dan udara yang tidak segar dan perlu diingat membudayakan amalan hidup bersih itu adalah bermula dari rumah.

“Ibu bapa perlu membimbing dan mengajar ahli keluarga mengenai aspek kebersihan dan jadilah keluarga yang selalu mementingkan kebersihan yang akhirnya menjadikan masyarakat yang sentiasa mengutamakan kebersihan,” tegasnya.

Untuk melahirkan persekitaran yang bersih dan sentiasa kelihatan menarik, perlu menghayati dan mengamalkan beberapa perkara yang antaranya sentiasa peka mengamalkan kebersihan diri, tempat tinggal, tempat beribadat, tempat kerja dan seluruh tempat awam.

Selain itu, mengamalkan budaya tegur-menegur dan nasihat-menasihati sesama dalam hal kebersihan dan amalkan sikap tidak camah mata jika ternampak kekotoran.

“Gunakan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan dengan sebaiknya seperti tong sampah, tong kitar semula dan tempat pembuang sampah awam tanpa membiarkan sampah sarap berselerakan dan puntung rokok di buang merata tempat.”

Khatib dalam khutbahnya seterusnya menjelaskan yang amalan memucang-mucang adalah satu amalan menjadi kebanggaan orang Brunei sejak dari dulu lagi tapi pada zaman sekarang amalan tersebut dilihat semakin pudar dan berkurangan disebabkan kesibukan bekerja, urusan keluarga dan seumpamanya.

“Alangkah baiknya jika amalan tersebut disemarakkan dan dihidupkan kembali kerana amalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita dan masyarakat amnya,” jelasnya.

Sama-sama kita mengamalkan sikap memucang-mucang dalam kehidupan seharian seperti membersihkan persekitaran rumah, masjid, tanah perkuburan, tempat riadah, tempat peranginan dan tempat awam.

Setiap orang hendaklah mempunyai kesedaran dan sikap bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan dan janganlah mengharapkan pihak-pihak tertentu atau pekerja saja yang menjaga kebersihan dan amal sekitar saja.

“Dengan membudayakan dan mengamalkan kebersihan dalam kehidupan, Negara Brunei Darussalam akan menjadi sebuah negara yang indah, bersih dan bebas daripada sebarang penyakit dan mara bahaya,” tambahnya.