Oleh Sim Y. H.
COVID-19 adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 di mana kebanyakan orang yang dijangkiti virus ini akan mengalami penyakit pernafasan ringan atau sederhana dan pulih tanpa memerlukan rawatan khas.
Walau bagaimanapun, terdapat pesakit yang mungkin akan menghidap sakit yang teruk dan memerlukan rawatan perubatan, sebagai contoh warga emas dan pesakit yang menghidapi penyakit kardiovaskular, diabetes, penyakit pernafasan kronik dan sebagainya lebih berkemungkinan menghidap lebih teruk.
Sehubungan dengan itu, cara terbaik untuk mencegah dan melambatkan penularan adalah dengan mendapatkan maklumat yang sahih dengan jangkitan berkenaan dan bagaimana virus itu merebak.
Virus boleh merebak melalui cecair pernafasan dari hidung atau mulut apabila seseorang yang dijangkiti COVID-19 itu sedang batuk, bersin, bercakap, menyanyi atau menghembuskan nafas di mana cecair pernafasan tersebut mengandungi aerosol yang kecil hingga ke tahap titisan respiratori yang lebih besar.
Oleh itu, adalah penting untuk mengamalkan etika respiratori, contohnya dengan batuk pada siku, teranah di rumah dan mengasingkan diri sehingga awda pulih.
Dalam hubungan itu juga, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan Garis Panduan Pembersihan dan Pembasmian di Tempat Kerja Umum semasa Pandemik COVID-19, di mana versi terkini garis panduan berkenaan telah dikeluarkan yang mana ia memberikan panduan mengenai langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan.
Panduan menyatakan bagi amalan am di tempat kerja, orang ramai disarankan untuk menjaga kebersihan diri dan persekitaran, memastikan semua kakitangan dan pelawat memakai pelitup muka, menyediakan pensanitasi tangan di kawasan atrium atau lobi, tidak menggalakkan perhimpunan kakitangan, pertimbangkan masa rehat makan secara berlainan waktu dan mengehadkan bilangan kehadiran jika perhimpunan kakitangan tidak dapat dielakkan.
Ia juga menasihatkan kakitangan yang sakit supaya tidak datang bekerja sehingga pulih sepenuhnya dan menjalani ujian pantas antigen (ART). Gunakan teknologi untuk bermesyuarat atau untuk berkomunikasi, berbanding dengan pertemuan secara bersemuka dan digalakkan bekerja dari rumah.
Garis panduan juga memberikan penekanan kepada kebersihan tangan di mana amalan mencuci tangan adalah penting dalam mencegah penyebaran jangkitan.
Cecair sabun yang lembut (mild) hendaklah sentiasa disediakan dengan dispenser hendaklah dipasang dan diberi keutamaan daripada jenis sabun buku dan sabun antiseptik tidak diperlukan kerana ia boleh merengsakan sesetengah jenis kulit.
Di samping itu, tuala kertas atau pengering tangan perlu ada berhampiran besen tangan untuk mengeringkan tangan di mana tuala kain yang diguna sama tidak boleh digunakan, sabun tangan berasaskan alkohol boleh digunakan sebagai alternatif; walau bagaimanapun, aspek keselamatan iaitu mudah terbakar dan tindak balas kulit (alahan), harus dipertimbangkan sebelum digunakan.
Sabun tangan berasaskan alkohol yang disarankan adalah yang mengan-dungi sekurang-kurangnya 70 peratus alkohol kerana jumlah itu telah terbukti berkesan dalam mengurangkan kuman dengan sabun tangan berasaskan alkohol hanya boleh digunakan apabila sabun dan air tidak tersedia.
Garis panduan turut menekankan etika batuk dan bersin di mana orang ramai disarankan untuk menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, menggunakan kertas tisu semasa menghembus rembesan pernafasan dan buang dengan segera ke dalam tong sampah bertutup, melakukan pembersihan tangan selepas tangan bersentuhan dengan rembesan pernafasan, mengasingkan kakitangan yang sakit di kawasan yang ditetapkan dan hantar pulang serta memberikan nasihat untuk mendapatkan rawatan perubatan di pusat kesihatan yang berdekatan mereka.
Pembersihan dan pembasmian tempat kerja hendaklah dikekalkan pada piawai kebersihan yang munasabah, jika mempunyai kes COVID-19 yang disahkan di tempat kerja, awda boleh membersihkan tempat kerja awda dengan menggunakan produk pembersihan rumah atau pembasmi kuman rutin dan amalan pembersihan biasa di mana langkah-langkah khas seperti pengasapan (fumigation) atau pengabusan (fogging) dengan pembasmian kuman adalah tidak perlu malah boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan manusia jika terhidu.
Pembersihan hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya sekali sehari dan lebih kerap terutamanya di kawasan yang mempunyai akses awam.
Di kawasan berisiko tinggi lain seperti dalam setting penjagaan kesihatan, bersihkan kawasan yang kerap disentuh seperti susur tangga eskalator, panel kawalan lif, tombol pintu dan suis lampu dengan lebih kerap, menggunakan penapis High-Efficiency Particulate Air (HEPA) juga boleh dipertimbangkan di kawasan yang mempunyai akses awam dan tempat berisiko tinggi lain seperti dalam setting penjagaan kesihatan serta pembasmian kuman boleh dilakukan dengan menggunakan proporsi 1 dalam 99 peluntur biasa yang dicairkan dengan larutan 5.25 peratus.
Sementara itu, bagi pengudaraan am, pengudaraan yang baik dan mencukupi disarankan dengan membuka tingkap dengan kerap terutamanya dalam ruang dalaman yang mempunyai densiti tinggi.
Bagi penggunaan bahan pembasmi kuman (Disinfectants) iaitu alkohol dan cecair peluntur di mana bukti mengenai merebaknya COVID-19 di atas permukaan yang tercermar adalah terhad.
Pengurus-pengurus premis boleh memilih untuk menggunakan amalan pembersihan dan pembasmian kuman yang biasa mereka laksanakan, asalkan ia selari dan mengikuti syarat-syarat piawai kesihatan dan keselamatan di tempat kerja dengan langkah-langkah tambahan berkenaan COVID-19 tidak perlu diambil.
Sementara itu, alkohol ethyl iaitu 70 peratus ialah spektrum pembunuh kuman am yang kuat dan dianggap secara umumnya lebih berkesan daripada alkohol isopropil.
Alkohol biasanya digunakan untuk membasmi kuman atas permukaan kecil bagi peralatan-peralatan klinikal di kemudahan penjagaan kesihatan sebagai contoh berbagai getah sumbat bagi vial ubat berbilang dos, atau alat termometer dan kadangkala permukaan luar bagi peralatan yang lebih besar contohnya stetoskop, atau ventilator (mesin bantu pernafasan).
Sementara itu, memandangkan alkohol mudah terbakar, penggunaannya sebagai pembasmi kuman permukaan adalah terhad kepada kawasan permukaan yang kecil dan dalam penggunaan alkohol sebagai pembasmi kuman yang digunakan secara berulang kali.
Penggunaan alkohol yang berpanjangan dan berulang sebagai pembasmi kuman juga boleh menyebabkan perubahan warna, pengembangan, pengerasan dan keratakan pada getah dan plastik tertentu.
Penggunaan cecair peluntur adalah pembasmi kuman yang kuat dan berkesan di mana bahan aktifnya, natrium hipoklorit, adalah berkesan dalam membunuh bakteria, kulat dan virus, termasuk virus influenza tetapi ia mudah dinyahaktifkan (inactivated) oleh bahan organik.
Peluntur yang mudah didapati di rumah yang dicairkan mampu membasmi kuman dalam masa 10 hingga 60 minit selepas kontak. Ia juga tersedia secara meluas pada kos yang rendah dan disarankan untuk pembasmian kuman atas permukaan.
Walau bagaimanapun, cecair peluntur boleh merengsakan membran mukus, kulit dan saluran pernafasan; terurai (decompose) di bawah haba dan cahaya serta mudah bertindak balas dengan bahan kimia lain.
Oleh itu, cecair peluntur harus digunakan dengan berhati-hati, pengudaraan hendaklah mencukupi dan konsisten dengan panduan kesihatan dan keselamatan pekerjaan.
Penggunaan peluntur yang tidak betul, termasuk penyelewengan daripada pencairan yang disarankan sama ada lebih kuat atau lebih lemah, boleh mengurangkan keberkesanannya untuk membasmi kuman.
Semasa melakukan pembersihan dan pembasmian kuman, pekerja hendaklah memakai pakaian peralatan pelindung diri (PPE) untuk membersihkan tempat kerja mereka.
Keperluan PPE adalah sarung ta-ngan dan pelitup muka adalah keperluan minimum, gaun dan sut atau apron pakai buang adalah disarankan, tetapi tidak diperlukan. Pakaian hendaklah dicuci selepas penggunaannya dan serta membuang PPE terpakai boleh dilakukan melalui sisa domestik atau rumah.