Amalkan penjagaan kesihatan yang wajar semasa WFH

Oleh SIM Y. H.

Sejak Negara Brunei Darussalam digemparkan sekali lagi dengan gelombang kedua penularan pandemik dan rentetan laporan peningkatan kes baharu COVID-19 kalangan komuniti, ia memaksa langkah-langkah pengawalan diperketatkan semula untuk membendung penularan jangkitan.

Kementerian Kesihatan bertindak pantas dan berusaha mengawal penularan wabak ini dengan melaksanakan beberapa arahan yang perlu dipatuhi oleh rakyat dan penduduk di negara ini.

Mengurangkan jumlah pekerja yang bekerja di pejabat ketika pandemik COVID-19 merupakan salah satu tindakan yang jitu bagi membendung penularan wabak. Kementerian Kesihatan turut menggalakkan sebilangan besar tenaga kerja untuk melaksanakan tugas mereka secara bekerja dari rumah (WFH).

Sehubungan itu, Safety, Health and Environment National Authority (SHENA) mengetengahkan langkah-langkah keselamatan dan berjaga-jaga kepada semua majikan, para pekerja dan mereka yang bekerja sendiri apabila melakukan WFH.

SHENA menyatakan melalui Seksyen 12, Perintah Kesihatan dan Keselamatan Tempat Kerja, 2009 (WSHO, 2009) mengetengahkan tanggungjawab seorang majikan untuk mengamalkan langkah-langlah yang diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjanya di tempat kerja di mana ia termasuk bekerja secara jarak jauh. Tambahan lagi, mengikut Seksyen 15 WSHO, 2009, para pekerja juga mempunyai tanggungjawab untuk mengamalkan penjagaan kesihatan yang wajar semasa bekerja.

Kementerian Kesihatan turut menggalakkan sebilangan besar tenaga kerja untuk melaksanakan tugas mereka dari rumah (WFH).
Mereka yang melaksanakan tugas secara WFH adalah disyorkan untuk melakukan senaman, mempunyai rutin dan menetapkan sempadan di antara waktu bekerja dan waktu persendirian.
Mereka menjalankan WFH disarankan untuk sentiasa meminum air yang mencukupi.
Bagi mengelakkan keletihan mata, digalakkan untuk menukar tumpuan dari tempat bekerja seketika dan berehat secara berkala.

Oleh itu, sebagai usaha dan sokongan kita dalam sama-sama membendung penularan COVID-19 dengan tetap berada di rumah masing-masing, kita perlu ingat untuk mengambil perhatian mengenai aspek keselamatan dan kesihatan.

Perkara yang perlu diambil perhatian adalah keselamatan ergonomik dan ke- selamatan peralatan skrin paparan (DSE) dengan memastikan komputer riba atau skrin monitor berada pada paras mata dan dalam jarak yang bersesuaian.

Pastikan tempat duduk yang selesa dengan postur yang baik dan kekunci dan tetikus diletakkan bersesuaian serta mengurus dengan baik sebarang kilauan atau pancaran daripada komputer riba atau skrin monitor.

Bagi mengelakkan keletihan mata, digalakkan untuk menukar tumpuan dari tempat bekerja seketika dan berehat secara berkala. Lakukan pergerakan atau regangan secara berkala untuk mengelakkan ketegangan otot dan mengelakkan diri menjadi tidak aktif bagi tempoh yang lama.

Mereka yang bekerja dari rumah juga disarankan untuk mengambil perhatian terhadap keselamatan elektrik dengan memastikan bahawa soket tidak lebih bebanan. Matikan suis bagi peralatan elektrik dari sumbernya dan mencabut palam jika tidak digunakan.

Di samping itu juga lakukan pemeriksaan visual terhadap peralatan elektrik termasuk pendawaian agar kekal dalam keadaan baik.

Anda perlu mengelakkan diri dari meletakkan minuman atau cecair berdekatan dengan barangan elektrik bagi mencegah berlakunya renjatan elektrik.

Anda juga harus peka mengenai barangan elektrik anda yang melebihi beban yang mungkin membawa kepada bahaya kebakaran.

Selain daripada itu, juga diingatkan untuk sentiasa berhati-hati agar tidak berlaku kejadian tergelincir dan terjatuh dengan memastikan bahawa persekitaran ruang kerja mereka di rumah adalah bebas daripada halangan seperti wayar elektrik, ruang kerja sentiasa kering dan bersih serta ruang kerja yang teratur dan kemas.

Mereka yang bekerja dari rumah juga disarankan untuk memastikan keadaan persekitaran kerja mereka adalah bebas bagi gangguan bunyi yang bising, memastikan pencahayaan yang mencukupi bagi menggelakkan penegangan mata mereka serta memastikan pengudaraan baik dan kawalan suhu yang selesa di ruang kerja mereka.

Pada masa yang sama, mereka juga disarankan untuk sentiasa menjaga kesihatan dan kesejahteraan dengan mengamalkan pemakanan yang sihat dan minum air yang mencukupi serta mengamalkan kebersihan diri yang baik.

Sentiasa berhati-hati ketika menerima atau mengendalikan dokumen fizikal dengan pertimbangan untuk melaksanakan prosedur bagi hanya mengeluarkan dan menerima dokumen-dokumen digital untuk mengurangkan risiko pendedahan.

Berikutan arahan untuk tetap berada di rumah, membuatkan ramai yang kurang bergerak cergas membuatkan gaya hidup menjadi tidak sihat dan kurang mendapat senaman yang dapat menurunkan imunisasi tubuh serta mendedahkan diri kepada virus berbahaya itu.

Justeru mereka yang melaksanakan tugas secara WFH adalah disyorkan untuk melakukan senaman, mempunyai rutin dan menetapkan sempadan di antara waktu bekerja dan waktu persendirian.

Pastikan mendapat tidur yang mencukupi bagi mengelakkan stres yang berlebihan dan kekalkan komunikasi terbuka secara maya dengan penyelia dan rakan-rakan sejawat mengenai isu-isu yang mungkin menjejaskan mutu kerja serta mengurus tekanan secara efektif dengan mempunyai masa untuk melakukan aktiviti yang mereka gemari atau menunaikan solat.

Jika mereka ingin mendapatkan bantuan profesional, mereka boleh menghubungi Talian Harapan 145. Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai dengan Notis Keselamatan Tempat Kerja ini, mereka boleh menghubungi SHENA melalui e-mel, [email protected]