Amalkan penjarakan semasa perayaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Orang ramai khususnya para pengunjung ke gerai-gerai perayaan disarankan untuk terus mengamalkan penjarakan sosial, penjarakan fizikal dan kebersihan diri bagi keselamatan dan kesejahteraan semua pengunjung.

Saranan itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika mengulas pertanyaan mengenai saranan bagi pengunjung ke gerai-gerai perayaan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Pehin menyatakan harapan supaya orang ramai akan terus menghormati, mengikuti dan mematuhi syarat-syarat yang dilaksanakan dari masa ke semasa di mana semua itu adalah untuk kepentingan semua bagi mengawal dan membendung penularan wabak COVID-19.

Beliau menekankan lagi bahawa kerjasama dan disiplin orang ramai adalah menggalakkan di mana usaha itu harus diteruskan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyarankan untuk terus mengamalkan penjarakan sosial, fizikal dan kebersihan diri semasa mengunjungi gerai-gerai perayaan. – Gambar oleh Syahmi Hassan