Amalkan ‘tindakan iklim’ dari rumah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Dalam sama-sama menangani penularan wabak COVID-19 dan mengamalkan penjarakan sosial, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam diseru untuk turut serta dalam mengamalkan ‘tindakan iklim’ dari rumah masing-masing.

Sememangnya tempat yang paling berkesan bagi memulakan tindakan iklim adalah di rumah sendiri dan tiada masa lagi yang lebih sesuai untuk melakukannya melainkan sekarang.

Seruan tersebut dibuat oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dalam kenyataannya sempena Sambutan Hari Bumi 2020 yang diraikan setiap 22 April.

Dalam kenyataan itu, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa di peringkat global, Negara Brunei Darussalam hanya menyumbang sekitar 0.025 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau dan masih memiliki salah satu sinki karbon yang paling tinggi dengan 72 peratus liputan hutan.

Walaupun sumbangan negara kepada pemanasan global adalah antara yang paling rendah, negara juga tidak terlepas daripada terkesan oleh impak perubahan iklim seperti hujan lebat, banjir, gelombang panas dan kebakaran hutan.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi.

Kesan-kesan ini, ujar beliau, telah menjejaskan kesejahteraan penduduk, landskap, habitat liar dan kehidupan harian secara amnya.

Manakala itu, suhu purata negara pula telah menunjukkan peningkatan 0.25 darjah Celsius setiap dekad dengan jumlah hujan meningkat pada kadar 100mm setiap dekad.

Sehubungan itu, tegasnya, dalam usaha menangani impak perubahan iklim ini, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkukuhkan urus tadbir perubahan iklim untuk memastikan tindakan iklim ditangani secara strategik dengan pendekatan seluruh negara.

Ini adalah melalui Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam dan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif Perubahan Iklim dan tiga kumpulan kerja mengenai Mitigasi Perubahan Iklim, Adaptasi dan Daya Tahan Perubahan Iklim, dan Kerangka Sokongan Perubahan Iklim.

Dengan adanya urus tadbir perubahan iklim ini, jelasnya, satu draf Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam telah digubal yang bertujuan untuk mengurangi pelepasan gas rumah hijau negara dan pada masa yang sama, meningkatkan keupayaan negara dalam menghadapi kesan-kesan perubahan iklim.

Yang Berhormat Dato menambah, strategi-strategi yang dikenal pasti untuk menyokong sasaran berikut adalah melalui pengawalan pelepasan fugitive industri, liputan hutan, kenderaan lestari, tenaga boleh diperbaharui, pengurusan tenaga lestari, pengurusan sampah, dan kedayatahanan dan adaptasi perubahan iklim.

Antara usaha lain yang telah dilaksanakan termasuk langkah-langkah adaptasi perubahan iklim untuk meningkatkan daya tahan lingkungan binaan negara melalui projek mitigasi banjir, perlindungan cerun dan perlindungan pantai.

Menurut beliau, Kementerian Pembangunan baru-baru ini telah mula menangani perubahan iklim melalui Penilaian Impak Alam Sekitar bagi aktiviti-aktiviti yang tertentu.

Negara Brunei Darussalam akan sentiasa memastikan komitmen antarabangsa di bawah Perjanjian Paris yang ditandatangani pada Hari Bumi empat tahun yang lalu dilaksanakan.

Tahun ini, Negara Brunei Darussalam akan menyampaikan Nationally Determined Contribution yang dikemas kini yang akan mencerminkan kesungguhan negara dalam mengatasi isu perubahan iklim di peringkat kebangsaan di bawah perjanjian berkenaan.

Yang Berhormat Dato berkata, Hari Bumi merupakan masa yang tepat untuk semua bersatu padu dalam menjalankan peranan kita bagi memelihara bumi terutama alam sekitar indah yang terdapat di Negara Brunei Darussalam.

Tindakan Iklim yang boleh dilakukan di rumah termasuklah, dan tidak terhad kepada, penggunaan elektrik dan air yang berhemah, beralih ke lampu LED, mengurangkan pembuangan sampah rumah, mengamalkan kompos sampah hijau, menggunakan semula barangan terpakai, atau meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai perubahan iklim.

Rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam digalakkan untuk mengira jejak karbon masing-masing dan belajar cara untuk mengimbangi pelepasan karbon mereka dengan melayari laman web https://carbon.green-brunei.com.