Aman nafi isteri jadi penghalang

Pelakon, Aman Graseka, 53, menafikan isteri baharu, Reena Arina, 31, menghalangnya bertemu dengan cahaya mata, Nurdayini Ashiqah, 22, sejak mereka mendirikan rumah tangga.

Sebelum ini, Nurdayini yang juga cahaya mata sulung menerusi perkahwinan bersama penyanyi dangdut, Mas Idayu meluahkan kekesalan terhadap Reena yang difahamkan menghalangnya untuk bertemu Aman.

Menerusi entri Instagram, Nurdayini dan Reena dilihat ‘berperang’ mulut dan berbalas komen sekitar Mac lalu.

Bagaimanapun, aktor yang pernah diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Seri Angkasa pada tahun 1999 itu menafikan isteri baharu menjadi penghalang hubungannya dengan anak.

“Ini semua tak betul. Saya ada menghubungi Nurdayini pada Ramadan lalu, tetapi dia tidak menjawab panggilan, mesej pun tidak dibalas. Saya hairan kenapa anak boleh mengeluarkan kenyataan isteri tak membenarkannya bertemu saya?

Menerusi perkahwinan kedua, Aman dan isterinya, Reena dikurniakan cahaya mata lelaki, Aishymir Mateen Shah Aman Shah yang berusia setahun. – Agensi

“Reena tak pernah halang, malah sering bertanya dan mengingatkan saya untuk menghubungi anak.

“Nurdayini tak boleh terima hakikat saya sudah kahwin lain. Sekarang, dia sudah mempunyai adik apabila isteri melahirkan anak lelaki,” katanya kepada media.

Pelakon yang mencipta populariti menerusi filem Cinta Kita pada tahun 1995 itu menegaskan, salah faham bukan berpunca daripada Reena.

“Saya tak mahu orang ramai memandang serong pada isteri. Disebabkan itu, saya mengeluarkan kenyataan untuk membersihkan nama Reena.

“Semua yang ditulis Nurdayini tidak betul dalam entri IG. Dia sengaja mahu memburukkan ibu tirinya. Reena tak pernah salah dan tak buat apa-apa untuk mengeruhkan keadaan,” katanya.

Pelakon kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu mendakwa, dia kecewa apabila bekas isteri turut campur tangan dalam kekusutan yang berlaku.

“Sebelum ini, bekas isteri pernah membalas pesanan menerusi telefon Nurdayini dengan mengeluarkan perkataan yang tidak baik. Apa butirannya, biar saya sahaja yang tahu.

“Disebabkan itu, Reena membuat kenyataan dalam IG. Reena mestilah terasa dengan campur tangan bekas isteri.

“Sepatutnya, Nurdayini kena hormat ibu tiri seperti ibu kandung. Dia tak boleh kurang ajar dengan isteri saya. Saya tidak pernah membelakangkan anak, malah saya sudah meminta kebenaran sebelum bernikah bersama Reena,” katanya.

Aman berkata, dia berharap pengikut laman sosial tidak mempunyai persepsi negatif terhadap isterinya.

“Saya tidak mahu perkara ini berpanjangan. Saya sentiasa berdoa agar hubungan kekeluargaan ini kembali jernih,” katanya.

Aman dan Mas Idayu mendirikan rumah tangga pada tahun 1997, namun berpisah pada tahun 2006.

Mereka dikurniakan Nurdayini. Menerusi perkahwinan kedua bersama model dan pelakon baharu, Reena pada tahun 2018, pasangan berkenaan dikurniakan cahaya mata lelaki, Aishymir Mateen Shah Aman Shah berusia setahun. – Agensi