Aman terkilan tidak dapat tunaikan amanat

Penyanyi Aman Aziz terkilan tidak dapat menunaikan amanat terakhir Allahyarham bapanya, Abdul Aziz Abdullah yang meninggal dunia, baru-baru ini, akibat serangan jantung.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Sulit ini, arwah ayah pernah berpesan agar empat anak lelaki termasuk Aman dapat menguruskan pengebumiannya apabila beliau pergi menghadap Ilahi.

“Saya diberitahu ayah sempat meninggalkan pesan kepada anak-anak. Beliau mahu semua anak lelaki menyempurnakan urusan jenazah seperti mandi hingga menghantar ke liang lahad.

“Perkara ini dimaklumkan abang yang menelefon bertanya mengapa saya tidak muncul di pusara pada hari pengebumian ayah. Ketika itu, saya berada di rumah kerana menemankan ibu yang tidak boleh bergerak kerana dalam tempoh edah.

“Apabila sampai ke kubur, jenazah ayah sudah dikebumikan. Walaupun terselit rasa terkilan kerana tidak sempat menunaikan permintaan terakhir arwah, namun, saya reda,” katanya kepada media.

Aman Aziz pernah popular dengan lagu Sulit. – Agensi

Ditanya kenangan manis bersama ayah yang masih membekas dalam hati sehingga hari ini, Aman atau nama penuhnya, Mohammad Razman Abdul Aziz memberitahu, perkara yang paling diingati adalah pesanan berguna yang ditinggalkan arwah.

“Ayah mahu saya sentiasa menjaga solat, pandai pilih kawan dan tidak melakukan perkara bukan-bukan.

“Beliau penyokong kuat saya dan bangga dengan apa yang saya lakukan selama ini,” kata penyanyi berusia 26 tahun ini.

Sementara itu, mengulas perkem-bangan aktiviti seni, Aman mengaku momentum karier nyanyiannya sedikit perlahan selepas kemunculan lagu Sulit.

“Saya ada single lain selepas itu. Namun, sambutannya tidak seperti lagu Sulit. Lama saya mendiamkan diri sebelum diundang menjayakan program realiti Immortal Songs.

“Selepas ini, saya akan bernaung di bawah syarikat pengurusan baharu. Saya ada beritahu, jika mahu berjaya, kena ada kerjasama kedua-dua belah pihak. Tidak boleh harapkan sebelah sahaja ke depan.

“Justeru, saya harap kerjasama ini akan memberi sinar kepada karier nyanyian saya,” kata naib juara Akademi Fantasia (AF) 11 ini optimis. – Agensi