ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
PENGARAH siri drama Page Turner, Lee Jae Hoon kembali bekerjasama dengan penulis, Park Jae Bum dalam sebuah siri drama terbaru berjudul Chief Kim.
Ia adalah sebuah siri drama yang menawarkan elemen drama dan komedi yang setentunya akan menjadi salah satu hiburan menarik kepada ramai penonton.
Siri drama ini memiliki persamaan dari sudut latar yang ditampilkan dalam siri drama Misaeng iaitu menonjolkan kisah kehidupan para pekerja di dalam sebuah pejabat.
Walau bagaimanapun setentunya lebih banyak elemen baru serta kejutan yang ditampilkan bagi menghiburkan para penonton.
Ia dibintangi oleh Namgoong Min, Nam Sang-mi, Lee Jun-ho Jung Hye-sun dan ramai lagi.

Pada dasarnya, ia mengisahkan mengenai Kim Sun-ryong lakonan Namgoong Min, seorang akauntan yang menjadi Pengurus Operasi Perniagaan yang baru dilantik bagi menguruskan Syarikat TQ Group.
Sebelum ini, Kim Sun-ryong juga pernah memegang jawatan akauntan untuk syarikat yang kurang ternama namun tetap disiasat oleh pihak berkuasa bagi pada setiap tahun bagi memastikan bahawa tidak ada sebarang unsur penipuan dan ternyata beliau adalah seorang insan yang jujur serta amanah.
Berikutan daripada sikap murni yang dimilikinya itu menjadi antara faktor yang menyebabkan beliau ditawarkan jawatan di sebuah syarikat yang ternama.
Di TQ Group, Kim Sun-ryong dibantu oleh Yoon Ha-Kyung lakonan Nam Sang-mi yang merupakan seorang wanita yang cekal dan beretika bertugas selaku Penolong Pengurus Operasi Perniagaan di syarikat itu.
Manakala Seo Yui lakonan Lee Jun-ho pula adalah seorang bekas pendakwaraya yang bertugas selaku Pengarah Kewangan di syarikat tersebut.
Sementara, Hong Ga-eun pula merupakan seorang pekerja latihan di Jabatan Kewangan yang juga sebenarnya memainkan peranan sebagai perisik di dalam syarikat tersebut oleh seorang pendakwaraya.
Pada awalnya, sifat jujur dan amanah Kim Sun-ryong juga agak sedikit tergugat setelah melihat sejumlah wang yang banyak diuruskan oleh kewangan pejabat tersebut sehingga pernah menyimpan niat buruk untuk menggelapkan wang tersebut.
Bagaimanapun, hasrat tersebut agak sedikit terbantut setelah melihat kebaikan hati kaki tangan syarikatnya yang melayan beliau dengan baik.
Justeru, apakah kesudahan kisah dalam siri drama adakah Kim Sun-ryong tergamak mengikuti nafsunya sehingga mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh rakan-rakannya.
Untuk mengetahui kesudahan kisah ini, jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Chief Kim ini sehingga ke penghujungnya.