Friday, August 19, 2022
24.2 C
Brunei

‘Amanah’ pakai gelang sehingga akhir hayat

-

PADAWAN, SARAWAK – “Saya akan kekalkan tradisi memakai gelang tembaga sehingga nafas terakhir kerana ini adalah ‘amanah’ nenek moyang saya”.

Demikian luah Tawud Luhan, 75, yang berkemungkinan merupakan antara tiga wanita Bidayuh terakhir yang masih mengamalkan tradisi ‘paad padi’ (menaikkan padi) dengan memakai gelang tembaga pada betis dan lengan dengan berat keseluruhan boleh mencecah sehingga tiga kilogram.

Tidak lekang dengan senyuman ketika melayan pertanyaan wartawan Bernama melalui khidmat seorang penterjemah, Tawud yang mesra dipanggil ‘nenek’ berkata beliau bagaimanapun memahami sekiranya generasi baharu kini tidak dapat meneruskan warisan ini, dek kekangan kehidupan harian.

Ibu kepada 12 anak itu berkata pemakaian gelang yang dikenali sebagai ‘ruyang’ dan ‘rasung’ ini perlu bermula dari usia kanak-kanak kerana selain proses melilit gelang itu yang sukar, ia juga memerlukan ketelitian tinggi bagi memastikan perhiasan itu tampak cantik dan kemas.

“Saya tidak sedih meskipun anak-anak (perempuan) sekarang tidak mahu meneruskan pemakaian gelang ini tapi saya akan tetap pertahankan (pemakaian gelang) supaya amalan nenek moyang kami tidak hilang kerana ini adalah adat resam orang tua dahulu.

Wanita gelang suku kaum Bidayuh, Tawud Luhan ketika temu ramah bersama Bernama di kediamannya di Penempatan Semula Bengoh (BRS). – Bernama

  “Saya dan rakan-rakan lain yang masih pakai gelang ini sudah menjalankan tanggungjawab dengan menghidupkan adat tersebut sepanjang hidup tapi untuk generasi baharu mungkin tidak sesuai sebab ia berat,” katanya yang berasal dari Kampung Semban, Padawan, kira-kira 45km dari bandar raya Kuching.

Difahamkan pemakaian gelang itu bukan sahaja sebagai simbol status dan kejelitaan, tetapi juga sebagai pengiktirafan bahawa hanya pemakai yang dibenarkan menghadiri festival tertentu dan melaksanakan upacara tradisional komuniti itu.

Meskipun kini telah berpindah ke skim Penempatan Semula Bengoh (BRS), namun Tawud berkata ia tidak menghalangnya dan dua rakannya untuk tetap meneruskan kehidupan harian mereka.

Menurutnya, sebelum ini terdapat lima rakannya yang meneruskan tradisi berkenaan, namun salah seorang darinya telah meninggal dunia tahun lepas manakala seorang lagi tidak lagi memakai gelang tersebut disebabkan masalah kesihatan.

Menyedari tradisi pemakaian gelang tembaga oleh wanita Bidayuh Biatah semakin pupus, satu lukisan mural menampilkan lima daripada wanita berkenaan yang lengkap berpakaian tradisional, menghiasi sebuah bangunan di Kota Padawan di sini, yang merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak mempromosikan kepelbagaian budaya di Bumi Kenyalang.

  Tawud dan dua lagi rakannya yang merupakan anggota kumpulan kebudayaan, pernah diundang ke Lo Spirito Del Pianeta, Festival Antarabangsa Kumpulan Peribumi dan Suku Kaum di Milan, Itali pada 2016.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memastikan adat, budaya dan warisan suku kaum di Sarawak tidak hilang akibat peredaran zaman.

Katanya perjalanan budaya suku kaum di negeri ini akan diabadikan di Muzium Budaya Borneo, sebuah muzium yang mengetengahkan pelbagai kebudayaan negeri ini yang akan dirasmikan dalam masa terdekat. 

“Realitinya terdapat sesetengah budaya akan pupus namun melalui usaha memperkasakan suku kaum dan adat resam mereka, ia diharap adat mereka akan sentiasa berkembang melalui pelbagai inisiatif terutamanya bagi mempromosikan pelancongan di sini,” katanya. – Bernama

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Darurat banjir di wilayah pulau selatan New Zealand

WELLINGTON, 18 OGOS – Wilayah Pantai Barat dan Nelson-Tasman di Pulau Selatan New Zealand dilanda hujan lebat dan banjir. Darurat tempatan masih kekal di kawasan...
- Advertisment -