Oleh Azlan Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Amann Shipping Group Sdn Bhd (Amann Shipping) telah menambah operasinya dalam usahanya untuk menyokong inisiatif kerajaan Brunei bagi mengurangkan kos logistik dan meningkatkan kesalinghubungan.
Dalam satu kenyataannya, Amann Shipping menyatakan bahawa mereka bersiap sedia untuk menawarkan kesaling-hubungan lebih baik dan pelayaran lebih kerap di antara Pelabuhan Muara dan pelabuhan lain di rantau ini.
Amann Shipping adalah syarikat operasi Marzuq Holdings Limited (Marzuq), sebuah syarikat usaha sama di antara Modal Pembangunan Strategik (SDC) Kementerian Kewangan dan Go-Wide Shipping Holding Limited dari Hong Kong yang telah diperbadankan pada Mei 2014.
Usaha sama berkenaan merupakan satu usaha penting untuk mempercepatkan program pempelbagaian ekonomi negara dan untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru kepada rakyat tempatan.
Ditubuhkan pada Julai 2014, Amann Shipping bermatlamat untuk membantu pembangunan industri perkapalan di Negara Brunei Darussalam dan juga bertindak sebagai platform untuk memperbaiki sektor import dan eksport.
Anak syarikatnya Amann Shipping Container Line Sdn Bhd pula telah ditubuhkan pada Disember 2014.
Syarikat perkapalan kebangsaan itu dijangka dapat mengurangkan kos pengangkutan dan logistik di negara ini dan mewujudkan lebih banyak industri logistik kompetitif yang akan mempromosikan pembangunan perniagaan tempatan dan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).
Penubuhan Amann Shipping serta langkah-langkah ‘Ease of Doing Business’ yang diambil oleh kerajaan dijangka memanfaatkan perniagaan tempatan termasuk syarikat-syarikat FDI dan perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan aktiviti perdagangan dengan negara-negara anggota ASEAN.
Di Negara Brunei Darussalam, potensi pengangkutan maritim dan sektor logistik belum lagi ditembusi sepenuhnya, sebagai negara pengguna, Negara Brunei Darussalam adalah satu pasaran bagi barangan luar di mana majoriti produk pengguna diimport.
Kebergantungan negara ke atas kapal-kapal asing untuk membawa masuk barangan dan mengeksport barangan dari negara ini telah menyebabkan perniagaan tempatan membayar bayaran pengangkutan lebih tinggi berbanding negara-negara lain di rantau ini.
Cabaran-cabaran lain yang dihadapi perniagaan tempatan adalah apabila barangan diimport ke negara ini, syarikat-syarikat perkapalan persendirian biasanya terpaksa membuat perhentian di pelabuhan lain di rantau ini untuk memaksimumkan ruang muatan yang ada sebelum menurunkan kargo-kargo mereka di Pelabuhan Muara.
Ini bukan sahaja menyebabkan perjalanan yang lebih lama malahan menambah kos kepada harga akhir barangan berkenaan yang akhirnya terpaksa ditanggung para pengguna tempatan.
Amann Shipping Container Line Sdn Bhd (ASCL) menyatakan harapan bahawa syarikat pengangkutan kargo tempatan akan memberikan maklum balas positif dengan mengurangkan kos di bahagian mereka, untuk memuaskan pelanggan mereka dan mewujudkan hubungan berpanjangan di antara mereka.
Ini boleh dicapai dengan memikirkan pelbagai penyelesaian logistik, menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan nilai tambah dan meningkatkan kecekapan dalaman mereka.
Syarikat perkapalan baru itu dijangka merangsang aktiviti perindustrian dan komersial dengan peningkatan aktiviti import dan eksport di Pelabuhan Muara.
Industri perkhidmatan dan logistik tempatan yang termasuk perkhidmatan pikap, storan, pengendalian, penghantaran dan pengangkutan juga dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan. Ini akan menyumbang lagi kepada pembangunan Pelabuhan Muara sebagai hab serantau bagi pengangkutan maritim pada masa depan.
ASCL pada masa ini mempunyai enam orang pekerja tempatan yang merangkumi dua orang eksekutif dan empat kakitangan pengurusan.
Dengan pelan pengembangan dalam rancangan, syarikat berkenaan dijangka menyediakan lebih banyak pekerjaan kepada rakyat tempatan tatkala ia terus berkembang dalam tahun-tahun akan datang.