Amar Baharin tidak kesah jadi pilihan ketiga produser

Walaupun sudah lebih 12 tahun menceburkan diri dalam bidang lakonan, Amar Baharin bersyukur kerana masih lagi menjadi pilihan pihak stesen televisyen dan syarikat produksi untuk memegang watak utama dalam naskhah mereka.

Menurut Amar atau nama sebenarnya, Amar Mohd Baharin, 36, jangka hayat seseorang pelakon bergantung sepenuhnya pada disiplin serta cara kerja yang ditunjukkan mereka.

“Sekarang ini mungkin saya dah jadi pilihan ketiga atau keempat untuk produser dan pihak stesen TV pilih bagi membintangi drama terbitan mereka.

“Saya tak rasa itu satu masalah… tidak mengapalah mungkin mereka nak beri peluang kepada pelakon BBNU yang fresh. Saya selalu percaya rezeki ada di mana-mana.

“Tawaran berlakon bukan bergantung pada status sama ada kita dah kahwin atau belum. Apa yang saya nampak sepanjang 12 tahun dalam bidang ini, sikap seseorang pelakon itu yang memainkan peranan penting untuk kelangsungan diri dalam industri hiburan,” katanya kepada wartawan.

Suami kepada aktres Amyra Rosli ini juga percaya kualiti lakonan seseorang itu boleh diasah biarpun pada awal kemunculan mungkin ia kelihatan sedikit kaku dan ‘kayu’.

“Bagi saya kalau pelakon baharu itu berlakon ‘kayu’ tapi apabila dia dah buat banyak drama selepas itu, pasti lakonannya akan meningkat juga daripada masa ke masa.

“Tapi lainlah kalau dia ada masalah sikap, contohnya hari-hari datang lambat ke set penggambaran. Benda-benda macam inilah sebenarnya yang menyebabkan mereka akan kehilangan tawaran berlakon,” katanya.

Sementara itu bercerita tentang perkembangan karier, Amar akan muncul dengan drama terbaharu berjudul Hati Yang Dikhianati.

Drama rantaian 65 episod itu merupakan adaptasi daripada naskhah popular dari Venezuela, Mis Tres Hermanas.

Drama yang pernah menjadi fenomena di seluruh dunia pada tahun 2000 itu mengisahkan tentang tiga adik-beradik perempuan yang dijaga oleh abang sulung menjalani kehidupan yang penuh liku dan cabaran.- Agensi