Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amaran China, Rusia buat AS

    MOSCOW, 21 Sept – Moscow dan Beijing naik angin hari ini selepas sekatan anti-Rusia baharu yang dibuat oleh Washington juga terkena tempiasnya pada China buat pertama kali, memberi amaran bahawa Amerika Syarikat (AS) akan berdepan akibatnya.

    Jurucakap Presiden Vladimir Putin menuduh Washington berlaku tidak adil dan menggunakan tindakan baharu bagi menyingkirkan Moscow dari pasaran senjata global, selepas AS mengenakan sekatan ke atas China daripada membeli pesawat perang dan peluru berpandu Rusia serta mengancam klien-kliennya yang lain.

    “Ini adalah persaingan yang tidak adil dan tidak jujur, menggunakan tindakan bukan pasaran untuk menangani norma-norma dan prinsip-prinsip perdagangan antarabangsa untuk menyingkirkan pesaing utama pengeluar AS agar keluar dari pasaran,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.

    Peskov berkata bahawa sikap berterusan Washington dalam mengenakan sekatan telah memberikan impak buruk pada hubungan AS-Rusia namun tidak segera menyatakan sama ada Moscow akan bertindak balas.

    Semalam, Washington telah mengenakan sekatan ke atas Jabatan Pembangunan Kelengkapan di Kementerian Pertahanan China, dan pentadbir atasannya, atas pembelian terbaharunya bagi jet pejuang Rusia, Sukhoi Su-35 dan sistem peluru berpandu permukaan ke udara S-400.

    Ia adalah pertama kali negara ketiga dihukum di bawah sekatan undang-undang CAATSA kerana membuat pembelian dengan Rusia, memberikan petanda mengenai kesediaan Donald Trump untuk mengambil risiko ke atas negara lain disebabkan Moscow. Beijing, yang mengharungi perang perdagangan dengan AS, menggesa Washington untuk menarik semula sekatannya atau ‘menerima padah’.

    “Sekatan AS secara seriusnya melanggar prinsip awal hubungan antarabangsa dan secara seriusnya menjejaskan hubungan antara kedua buah negara dan dua tentera,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang.

    “Kami menggesa AS untuk memperbetulkan kesilapan mereka dan menarik semula sekatan mereka, jika tidak AS akan menerima padah atas tindakan mereka.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda