BEIJING, 8 Jan – Pihak berkuasa meteorologi China hari ini mengeluarkan amaran peringkat biru, berikutan cuaca sejuk yang melanda beberapa kawasan tengah, selatan dan timur laut negara itu, lapor agensi berita Xinhua.
Bermula hari ini hingga esok, suhu dijangka turun antara enam hingga lapan darjah Celsius di tengah, selatan, dan timur laut China, termasuk di beberapa kawasan seperti Shaanxi, Inner Mongolia dan Yunnan.
Menurut Pusat Meteorologi Negara (NMC), sebahagian wilayah Fujian, Guangdong, Yunnan, Heilongjiang dan Jilin diramal mengalami penurunan suhu melebihi 10 darjah Celcius.
Kebanyakan kawasan di timur laut China akan mengalami salji rendah hingga sederhana.
Suhu rendah dan cuaca beku boleh menjejaskan pertanian, penternakan, bekalan tenaga, pengangkutan dan kesihatan manusia, justeru NMC menasihatkan penduduk untuk memakai pakaian tebal dan bersesuaian serta mengambil langkah berjaga-jaga.
Peringkat biru adalah tahap paling rendah dalam sistem amaran empat peringkat. – Bernama