Amaran hujan lebat, banjir di Semenanjung dan Sabah

KUALA LUMPUR, 26 NOV – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada, dengan hujan lebat dijangka berlaku di banyak kawasan di enam negeri Semenanjung dan beberapa kawasan di Sabah sehingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan diramal berlaku di daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan manakala di Terengganu melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang.

Menurut kenyataan itu, amaran cuaca waspada dengan hujan lebat pula dijangka berlaku di seluruh negeri Perlis manakala di Kedah melibatkan daerah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

Selain itu, amaran cuaca waspada dengan hujan lebat turut diramal berlaku di Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta di Perak manakala di Kelantan (Gua Musang); Terengganu (Dungun dan Kemaman); Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin); serta Sabah (Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat). Beberapa buah negeri di semenanjung turut dilanda banjir dalam masa beberapa hari lalu antaranya Terengganu, Kelantan dan Pahang. – Bernama

Sekumpulan kanak-kanak kelihatan girang bermain air ketika tinjauan banjir di Taman Desa Tanjung Damai, Kuala Nerus, Terengganu, kelmarin. – Bernama