BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan keras terhadap pengendali teksi haram di negara ini dan berkata aktiviti berkenaan merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan kompaun terhadap pesalah.
Amaran keras itu dikeluarkan selepas operasi pengawasan yang dilancarkan sejak dua bulan lalu, di mana lebih daripada 260 kenderaan yang tertakluk kepada pengawasan rapi oleh pegawai penguatkuasa JPD telah dikenal pasti.
Menurut kenyataan JPD, hasil pengawasan dan operasi tambahan 1JPD dan Pasukan Polis Diraja Brunei, enam orang telah pun didenda setakat ini dan seorang warga asing dihantar kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tindakan lanjut.
JPD juga mengeluarkan amaran keras kepada warga asing yang menjalankan aktiviti haram berkenaan. Selain kompaun, rujukan lanjut kepada pihak berkuasa yang berkenaan mungkin membawa kepada repatriasi dari Brunei Darussalam.
Operasi pengawasan juga telah mengenal pasti syarikat yang memiliki kereta sewa atau ‘Kereta Sewa Pandu Sendiri’ (KSPS) menggunakan kereta mereka untuk menjalankan aktiviti haram yang sama.
Hasil daripada operasi berkenaan, lesen dua buah syarikat kereta sewa persendirian telahpun dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Pelesenan Pengangkutan Bermotor (MTLA).
Sistem teksi bermeter yang dilancarkan pada 23 September tahun lalu menandakan terdapat peningkatan keyakinan orang awam selepas tambang dan perkhidmatan teksi dikawal.
Bagi memastikan imej positif ini dikekalkan demi mempertingkatkan perkhidmatan teksi secara keseluruhan di negara ini, orang awam dan pelancong dipelawa supaya menghantar komen dan aduan mengenai sebarang penyalahgunaan meter teksi atau mana-mana kejadian mengenakan caj berlebihan kepada JPD menerusi mesej WhatsApp ke talian 7292017 atau e-mel jpdptg@landtransport.gov.bn.