Amaran kesan serius pandemik COVID-19

HANOI, 26 JUN – Vietnam hari ini memberi amaran bahawa pandemik COVID-19 memusnahkan ekonomi dijana selama bertahun-tahun, ketika pemimpin-pemimpin Asia Tenggara bersidang secara maya pada sidang kemuncak ASEAN yang turut dikuasai isu tindakan Beijing di Laut China Selatan.

Pengerusi ASEAN 2020 itu juga mahu menggunakan sidang kemuncak berkenaan untuk menyuntik momentum perbincangan mengenai pakatan perdagangan yang disokong China, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Perjanjian yang menyasarkan untuk meliputi separuh populasi dunia dan satu per tiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), terjejas susulan keengganan India bergabung dengan akses pasaran untuk barangan murah dari China.

Ketika ini, fokus blok 10 negara anggota itu ialah impak wabak COVID-19 yang telah melumpuhkan ekonomi negara yang bergantung pada pelancongan dan eksport seperti Thailand serta Vietnam.

Mesyuarat khas ASEAN yang diadakan pada April lalu untuk menangani pandemik itu, gagal mencapai persetujuan berhubung satu dana kecemasan.

PM Vietnam ketika berucap pada sidang Kemuncak maya ASEAN itu. – AFP

Hari ini, Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc, dalam ucapan pembukaannya menekankan ‘kesan serius’ pandemik itu terhadap pembangunan ekonomi dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Ia telah memusnahkan kejayaan selama bertahun-tahun… mengancam kehidupan berjuta-juta orang,” katanya.

Selain itu, kebimbangan meningkat bahawa virus itu serta penularannya telah ‘memberikan perlindungan’ kepada China untuk mengambil tindakan baharu di Laut China Selatan yang kaya dengan sumber dan turut menjadi tumpuan Vietnam, Filipina, Malaysia serta Taiwan.

“Jika ada ruang, mereka bertindak,” katanya. Tanpa menyatakan China secara langsung, Phuc mengakui ‘masalah strategik antara negara besar menjadi semakin jelas dan mendalam’.

“Ketika dunia sedang berusaha sedaya upaya memerangi pandemik itu, terdapat tindakan tidak bertanggungjawab dan melanggar undang-undang antarabangsa yang memberi kesan terhadap keselamatan serta kestabilan sesetengah rantau, termasuk kita,” katanya. – AFP