Amaran ‘letusan populasi tak dipantau’

NEW DELHI, 15 OGOS – Perdana Menteri India Narendra Modi hari ini memberi amaran risiko ‘letusan populasi tidak dipantau’ di negara 1.3 bilion penduduk itu, pertama kali beliau membangkitkan isu tersebut dan menyeru bagi langkah-langkah perancangan keluarga.

India merupakan negara kedua paling padat penduduk di dunia di belakang China yang mempunyai 1.4 bilion penduduk dan populasinya dijangka melepasi jirannya di Asia Timur itu menjelang 2024, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Sudah tiba masanya menerima cabaran awal ini…letusan populasi. Ia akan membawa banyak cabaran bagi generasi masa hadapan negara ini,” Modi menekankan semasa berucap pada ulang tahun Hari Kemerdekaan India di ibu negara, New Delhi.

“Kita perlu memikirkan sama ada kita membawa keadilan kepada aspirasi anak-anak kita. Ada keperluan besar untuk membincangkan dan menyemai kesedaran mengenai letusan populasi.”

Perdana menteri itu memuji rakyat India di ‘seksyen berpengetahuan’ yang sudah pun mempunyai keluarga kecil sebagai ‘memainkan peranan besar ke arah kebaikan negara.’

India memperkenalkan pensterilan (pemandulan) paksa ke atas lelaki dalam 1970an bagi mengehadkan pertumbuhan populasinya, namun terpaksa mengabaikannya kerana kemarahan berleluasa.

Kerajaan menghentikan penetapan sasaran rasmi bagi pensterilan dalam 1996, namun aktivis hak mengatakan amalan itu berterusan di peringkat tempatan.

Lebih daripada 1.9 juta orang, kebanyakan wanita dimandulkan di seluruh India dalam 2017 dan 2018, menurut Misi Kesihatan Kebangsaan. – AFP

Anggota Angkatan Keselamatan Sempadan India bergambar di sisi bendera kebangsaan semasa meraikan Hari Kemerdekaan ke-73 India di Srinagar, 15 Ogos. – AFP