Amaran penerbangan dikeluarkan, Sinabung meletus lagi

JAKARTA, 13 OGOS – Pihak berkuasa penerbangan Indonesia hari ini mengeluarkan amaran penerbangan susulan gunung berapi Sinabung meletus sekali lagi, mengeluarkan kepulan asap setinggi dua kilometer.

Gunung Sinabung di kepulauan Sumatera itu meletus sekurang-kurangnya lapan kali semenjak minggu lalu, namun tiada kecederaan atau kemusnahan harta dilaporkan setakat ini.

Kali terakhir pihak berkuasa mengeluarkan amaran penerbangan berhampiran kawasan gunung berapi itu adalah pada 2016.

Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, Raditya Jati, berkata terdapat kemungkinan letusan lebih banyak berlaku dan syarikat penerbangan dinasihatkan supaya berhati-hati. – AFP

Penduduk kampung menyaksikan letusan Gunung Sinabung dari Karo, Sumatera Utara, 13 Ogos. – AFP