TOKYO, 25 MEI – Amaran perjalanan Amerika Syarikat (AS) yang baharu ke atas Jepun mengenai risiko virus tidak akan memberikan kesan kepada Sukan Olimpik yang tertunda, kerajaan Jepun dan penganjur Tokyo 2020 berkata hari ini.
Jabatan Negara AS mengeluarkan pemberitahuan kelmarin menggesa warganya untuk mengelak membuat perjalanan ke Jepun, di mana sempadan telah ditutup bagi hampir semua warga asing.
Ia memetik nasihat kesihatan kerajaan dan ‘faktor kedua seperti keberadaan penerbangan komersial, sekatan kemasukan ke atas warga AS dan halangan untuk mendapatkan keputusan ujian COVID-19 dalam tempoh tiga hari.’
Nasihat tersebut dibuat kurang dua bulan sebelum acara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo, yang ditunda tahun lalu akibat penularan pandemik.
Kerajaan Jepun berkata langkah tersebut tidak akan menjejaskan sukan berkenaan.

“Bagi kami tiada perubahan kepada kedudukan AS untuk menyokong usaha Jepun menganjurkan Sukan Olimpik dan Paralimpik,” menurut jurucakap kerajaan, Katsunobu Kato semasa sesi penerangan.
Dia menambah bahawa Jepun telah dimaklumkan keputusan ‘tiada kaitan’ dengan rancangan rombongan Olimpik AS.
Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 berkata mereka akan meneruskan ‘usaha secara rapat bagi memastikan keselamatan dan mengesahkan penyertaan semua atlet dalam sukan.”
Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik AS juga berkata mereka kekal ‘yakin’ bahawa langkah keselamatan dan ujian kerap untuk atlet serta kakitangan ‘akan memberikan keselamatan kepada peserta AS pada musim panas’.
Menurut jurucakap Jabatan Negara, Washington memahami ‘pertimbangan teliti kerajaan Jepun dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa ketika mereka bersedia bagi Olimpik Tokyo musim panas ini’.
“Presiden Biden dengan bangga menyokong atlet AS yang menjalani latihan untuk sukan dan akan bersaing dengan semangat Olimpik,” katanya.
Jepun menyaksikan penularan koronavirus yang dianggap kecil, dengan secara keseluruhan mencatatkan 12,000 kematian. – AFP