NEW YORK, 15 NOV – Amazon bersiap sedia untuk memberhentikan 10,000 pekerja, lapor The New York Times semalam, menjadikan syarikat gergasi e-dagang itu firma teknologi terbaharu yang melancarkan pelan pengurangan pekerja lebihan secara besar-besaran.
Ia akan bersamaan satu peratus daripada jumlah gaji pekerja keseluruhan kumpulan, yang mempunyai 1.54 juta pekerja di seluruh dunia pada akhir September, tidak mengira pekerja bermusim yang direkrut semasa aktiviti sibuk seperti cuti Krismas.
Laporan The Times berkata jawatan yang terjejas akan datang dari jabatan peranti Amazon, divisyen runcit serta bahagian sumber manusia.
Menurut laporan, jumlah pekerja yang diberhentikan mungkin berubah, tetapi jika disahkan, ia akan menjadi pemecatan terbesar dalam sejarah penubuhan 28 tahun syarikat itu oleh Jeff Bezos.
Pemberhentian itu telah didahului oleh pengambilan pekerja agresif. Dengan perniagaan melambung disebabkan pandemik koronavirus, tatkala orang beralih kepada pembelian dalam talian, Amazon telah menambah dua kali ganda tenaga kerjanya dari suku pertama 2020 kepada 1.62 juta pekerja dua tahun kemudian. Namun dengan ekonomi meleset, dua minggu lalu Amazon mengumumkan pembekuan penggajian dan tenaga kerjanya telah pun berkurangan berbanding awal tahun ini. – AFP