Amazon buka kedai runcit tanpa juruwang di London

LONDON, 4 MAC – Amazon telah membuka kedai runcit tanpa juruwang di London, yang pertama di luar Amerika Syarikat ketika ia cuba memenuhi permintaan banyak bagi kedai-kedai tanpa kaunter pembayaran.

Syarikat kedai runcit online gergasi itu telah merasmikan kedai Amazon Fresh di kawasan kejiranan Ealing, London Barat hari ini, dalam apa yang dikatakannya yang pertama dalam gelombang kedai-kedai di bandar Britain menggunakan teknologi daftar keluar automatiknya.

Bagaimanapun, para pembeli perlu menggunakan aplikasi telefon pintar untuk mengimbas kod QR, agar mereka boleh memasuki kedai tersebut.

Mereka boleh memenuhkan beg membeli-belah mereka dengan susu, telur atau barang runcit lain, dengan kamera-kamera dan sensor mengesan apa yang telah diambil dari rak-rak kedai tersebut.

Pembelian tersebut akan dimasukkan dalam akaun Amazon selepas meninggalkan kedai itu manakala resit pembelian akan dihantar menerusi e-mel.

Kaedah pembelian tanpa perlu menunggu dalam barisan untuk membayar di kaunter itu telah mendapat banyak permintaan selepas pandemik menekankan keperluan untuk penjarakan sosial.

Amazon sudah pun mengoperasikan 26 buah kedai bebas juruwang di AS di bawah jenama Amazon Go dengan dua pasar raya besar digelar Amazon Go Grocery. – AP

Kedai runcit Amazon Fresh dibuka kepada awam di London pada 4 Mac. – AP