Amazon buka kedai Whole Foods tanpa juruwang

NEW YORK, 8 SEPT – Amazon, yang memiliki rantaian pasar raya runcit, berkata hari ini ia akan membawa teknologi tanpa juruwang kepada dua kedai Whole Foods untuk kali pertama, sekali gus membenarkan pembeli-belah mendapatkan apa yang diperlukan dan meninggalkan kedai tanpa membuka dompet mereka.

Kamera dan sensor menjejaki apa yang diambil dari rak. Produk dikenakan bayaran dalam akaun Amazon selepas pelanggan meninggalkan kedai bersama barangan yang diambil. Namun terdapatnya pilihan untuk mereka yang ingin membeli dengan kaedah tradisional.

Lorong daftar keluar sendiri akan disediakan untuk menerima wang tunai, kad hadiah dan jenis dokumen lain. Amazon pertama melancarkan teknologi tanpa juruwang pada 2018 di kedai Amazon Go dan telah mengembangkannya ke pasar raya Amazon yang lebih besar.

Namun ia akan menjadi kali pertama perkhidmatan ditawarkan di Whole Foods, rangkaian yang terdiri daripada lebih 500 kedai runcit yang dibeli Amazon empat tahun lalu.

Salah sebuah kedai baharu terletak di Washington, yang lainnya di Sherman Oaks, California. Kedai tersebut akan dipenuhi dengan produk Whole Foods, termasuk makanan laut, jus oren segar dan sayur organik. – AP

Logo Whole Foods kelihatan di depan sebuah kedai di Cambridge, Massachussetts. Amazon akan membawa teknologi tanpa juruwang ke dua kedai Whole Foods untuk kali pertama. – AP