Amazon, Casino umum hantar barangan runcit

PARIS, 23 April – Peruncit online Amerika Syarikat (AS), Amazon dan syarikat makanan Perancis, Casino berkata hari ini bahawa mereka akan mengumumkan perkongsian mereka dalam penghantaran segera barang runcit di bandar Perancis pada bulan-bulan akan datang.

Pada tahun lalu, ahli perkhidmatan Amazon Prime Now di Paris boleh memesan produk terpilih dari pasar raya mewah Casino Monoprix untuk dihantar secara percuma ke rumah mereka dalam masa kurang daripada dua jam.

Casino berkata dalam satu kenyataan bahawa perkhidmatan ini kini akan ditawarkan di bandar tambahan dalam tempoh 12 bulan akan datang, tetapi tidak menyatakan nama atau jumlah bandar berkenaan.

Mereka juga akan mempertingkat perkongsian mereka dengan menambah beberapa ribu produk label Casino dan menambah loker penghantaran Amazon di 1,000 kedai kumpulan Casino.

“Dengan perkongsian baharu ini, kami berupaya menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik kepada jumlah pelanggan tertinggi pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat yang diinginkan oleh mereka,” kata ketua eksekutif Casino Jean-Charles Naouri dalam kenyataan.

Penghantaran barang runcit di Perancis telah berkembang pada kadar yang lebih perlahan berbanding di Britain dan Amerika Syarikat.

Namun rangkaian pasar raya pesaing Perancis, yang sering menjual pakaian, barangan rumah dan elektronik terpilih di kedai mereka yang lebih besar, baru-baru ini mula menambah perkhidmatan penghantaran mereka untuk barang runcit apabila Amazon mengembangkan perkhidmatan mereka. – AFP