Amazon, Deliveroo jalin kerjasama

LONDON, 17 Mei – Amazon melabur dalam syarikat penghantaran makanan British Deliveroo, memperluaskan jangkauannya ke dalam sektor peruncitan makanan. Deliveroo berkata hari ini bahawa ia mengumpulkan AS$575 juta daripada pelabur yang diketuai oleh Amazon. Ia berkata Amazon akan menjadi pelabur terbesar Deliveroo, walaupun ia tidak mendedahkan jumlah pelaburan Amazon atau berapa besar saham yang diperolehi.

Will Shu, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Deliveroo, berkata: “Amazon telah menjadi inspirasi kepada saya secara peribadi dan kepada syarikat itu, dan kami berharap dapat bekerja dengan organisasi yang mementingkan pelanggan itu.”

Deliveroo telah diasaskan pada tahun 2013 dan telah menjadi salah satu syarikat ekonomi gig yang utama di Britain, dengan jenamanya kelihatan pada kenderaan penghantaran di seluruh negara. Selain Britain, ia juga beroperasi di beberapa negara di Eropah dan Asia, termasuk Jerman, Perancis, Itali dan Australia. – AP