Amazon, facebook raih keuntungan besar

WASHINGTON, 22 MEI – Kekayaan jutawan Amerika Syarikat (AS) meningkat 15 peratus dalam dua bulan sejak wabak COVID-19 melanda, menurut satu kajian, dengan pemilik Amazon, Jeff Bezos dan ketua Facebook, Mark Zuckerberg dilihat meraih keuntungan besar.

Lebih daripada 600 jutawan di AS menjadi lebih kaya kerana stok teknologi meningkat semasa sekatan perintah berkurung akibat COVID-19, menurut analisis data daripada dua kumpulan pemikir yang diterbitkan kelmarin.

Antara 18 Mac dan 19 Mei, jumlah kekayaan bersih mereka meningkat sebanyak AS$434 bilion sementara pandemik COVID-19 telah menyebabkan kehilangan pekerjaan dan penderitaan ekonomi bagi puluhan juta rakyat Amerika.

Kekayaan Bezos meningkat lebih 30 peratus kepada AS$147.6 bilion, sementara kekayaan Zuckerberg melonjak lebih 45 peratus kepada AS$80 bilion, menurut penyelidikan oleh American for Tax Fairness dan Program Institute Policy Studies for Inequality.

Analisis itu berdasarkan data dari senarai jutawan Forbes. Menurut laporan itu, Bill Gates dari Microsoft dan Warren Buffett dari Berkshire Hathaway, masing-masing mencatatkan kenaikan 8.2 peratus dan 0.8 peratus.

Saham Amazon dan Facebook melonjak berikutan pengumuman program baharu yang mendorong perniagaan mereka maju pada masa ketika banyak pengguna tersekat di rumah dalam perintah berkurung yang dikenakan. Kehilangan pekerjaan di AS telah mencecah 36.8 juta sejak penutupan perniagaan bermula pada pertengahan Mac lalu untuk menghentikan penularan wabak itu.

Data lain menunjukkan kemerosotan penjualan perumahan dan penurunan pembuatan, ketika para pegawai membahaskan langkah tambahan apa yang akan diperlukan untuk menyelamatkan ekonomi yang terjejas.

COVID-19 telah membunuh sekurang-kurangnya 94,700 orang di AS di mana lebih daripada 1.5 juta jangkitan telah disahkan. – AFP

Logo Amazon di New York pada 28 September 2011. Pemilik Amazon, Jeff Bezos dan ketua Facebook, Mark Zuckerberg meraih keuntungan besar ketika pandemik. – AFP